Nissan Maxima 2016 hadir dengan ngauman 300 hp!
Digambarkan sebagai “kereta sports empat-pintu”, Nissan Maxima generasi baharu telah pun dipertontonkan di New York Auto Show yang sedang berlangsung.
Model serba baharu ini tampil dengan gaya yang diadaptasi dari model konsep Sport Sedan, namun memiliki profil yang lebih menarik dengan garisan bumbung yang kelihatan ‘terapung’ dan bahagian hadapan berbentuk-V. Ia juga tampil dengan lampu utama LED, rim aloi bersaiz 18-inci dan juga sistem ekzos berkembar.
Bahagian kabinnya juga tidak terlepas daripada diberi penggayaan semula termasuk penggunaan material berkualiti tinggi serta menerapkan pelbagai teknologi moden. Roda stereng jenis lepes, kekemasan Alcantara, ruang tengah dengan sudut 7 darjah menghadap pemandu, sistem hiburan bersama paparan Bantuan Pemanduan bersaiz 7-inci pada kluster meter antara elemen yang ditonjolkan.
Selain itu, Maxima 2016 ini turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan tinggi termasuk Intelligent Cruise Control, Rear Cross Traffic Alert dan Predictive Forward Collision Warning.
Maxima 2016 ini dijanakan oleh enjin 3.5 liter V6 yang berkeupayaan menghasilkan kuasa sehingga 300 hp dan tork setinggi 353 Nm. Ia juga disambung pada transmisi baharu Xtronic.
Bakal menembusi pasaran US pada musim panas ini dengan harga jualan bermula $32,410 (RM118,580).