McLaren 570S – Kereta sport yang bersedia mencabar pasaran supercar!
McLaren 570S telah pun melakukan penampilan perdana di New York Auto Show baru-baru ini. Walau pun tidak banyak berbeza berbanding model 650S dengan memiliki persamaan dari segi struktur kenderaan dan juga padanan enjin 3.8 liter V8, namun McLaren mengesahkan 570S mempunyai 30% komponen baharu.
Ia juga mampu menghamburkan kuasa sehingga 570 hp dan tork setinggi 600 Nm. Malah boleh dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.2 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 328 km/j. Manakala penggunaan bahan api bagi kitaran kombinasi dicatatkan pada 9.2 liter/100 km.
Dengan seberat 1,131 kg, McLaren 570S Coupe ini turut ditampilkan dengan tayar 225/35/R19 yang membaluti rim aloi bersaiz 19-inci bagi hadapan dan 20-inci bagi tayar belakang 285/35 R20. 570S ini juga ditampilkan dengan brek seramik karbon standard, palang anti-olengan pada bahagian hadapan dan belakang serta suspensi baharu hadapan dan belakang bersama peredam adaptif.
McLaren 570S Coupe ini juga ditampilkan dengan dua warna baharu ‘By McLaren’ iaitu Ventura Orange yang lebih fokus untuk kegunaan trek dengan penggunaan gentian karbon pada bahagian luarannya. Manakala warna Blade Silver pula nampak lebih mewah termasuk penggunaan rim 10-jejari yang lebih ringan.
Menurut CEO McLaren, Mike Flewitt, “Siri Sports baharu ini disasarkan untuk peminat baharu McLaren. Malah ini merupakan kali pertama kami meletakkan kereta sports sebagai lawan di dalam pasaran supercar. Bagi kesemua model McLaren, kami akan mementingkan prestasi, pengendalian yang mantap serta keseronokan pacuan. Ia merupakan jentera sport yang dramatik dan sungguh anggun.”
Harga bagi 570S ini bermula £143,250 (RM777,056). McLaren 570S ini juga boleh ditempah secara eksklusif menerusi McLaren Kuala Lumpur.
Dalam masa yang sama, McLaren turut mengesahkan harga bagi 540C Coupe pula bermula£126,000 (RM683,556) dan ia bakal dipamerkan di Shanghai Motor Show hujung bulan ini.