Nilai tender nombor plat “RM” cecah RM7 juta!
Menurut laporan yang dipetik dari Bernama, nilai tender yang ditawarkan oleh 1,507 pembida dari seluruh negara untuk mendapatkan nombor plat kenderaan bermula dengan huruf “RM” mencecah RM7 juta. Ini merupakan nilai bidaan tertinggi pernah diterima oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perlis setakat ini.
JPJ Perlis telah membuka tawaran pembidaan bagi plat nombor kenderaan itu pada 23 Februari lepas dan ditutup 10 Mac lalu untuk membolehkan permohonan diproses bermula 11 Mac dan berakhir hari ini.
Menurut Pengarah JPJ Negeri, Zulhasmi Mohamad, bagi nombor plat menggunakan huruf RL yang ditawarkan sebelum ini telah mengumpul nilai tawaran tender sebanyak RM1.7 juta sahaja oleh para pembida yang berjaya.
Beliau berkata sebanyak 6,272 pembida terdiri daripada orang perseorangan dan syarikat dari dalam dan luar Perlis telah membida bagi mendapatkan plat nombor kenderaan berhuruf RM itu dan membayar 50 peratus daripada nilai tender yang ditawarkan.
Mengenai plat menggunakan huruf RM yang ditawarkan, beliau berkata bagi plat kenderaan RM 1 menjadi hak milik Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail di bawah kuota yang ada pada baginda.
Bagi nombor plat RM 7 pula menjadi milik anggota pentadbiran kerajaan negeri di bawah kuota yang diberi kepada Menteri Besar.
DYTM Raja Muda Selangor juga antara pembida yang berada dalam senarai dan berjaya memperoleh plat kenderaan RM 5 dengan bidaan sebanyak RM264,000.
Nombor plat paling tinggi ditawarkan oleh pembida ialah untuk RM 8 dengan nilai tender sebanyak RM297,000 oleh sebuah syarikat luar Perlis sementara tender paling rendah yang memenangi bida berkenaan bernilai sebanyak RM300 oleh beberapa pembida perseorangan dan syarikat mengikut nombor pilihan masing-masing.