Honda membangunkan SUV dengan platform-Mobilio untuk India
September tahun lalu menyaksikan pelancaran model MPV bajet Mobilio untuk pasaran Thailand. Terkini, Honda dilaporkan sedang membangunkan model yang sama tetapi dalam bentuk SUV untuk pasaran India pula, petikan sumber Autocar India. Majalah berkenaan berkata, model HR-V cukup berjaya menembusi pasaran Asia, namun harganya agak tinggi untuk diproduksi di negara berkenaan.
Laporan tersebut juga mendakwa, baru-baru ini Honda Cars India telah membawa sekumpulan pengedarnya berkunjung ke fasiliti R&D di Jepun dan menunjukkan model SUV kompak tujuh-tempat duduk yang mungkin mampu menyaingi Renault Duster dan Mahindra XUV500 di India.
Wakil Honda turut berkata, SUV ini akan berkongsi asas yang sama dengan Honda Mobilio tetapi bahagian hadapannya akan kelihatan sedikit mirip pada kenderaan MPV tetapi memiliki ciri-ciri tradisional SUV termasuklah tayar yang besar, dan lapisan badan yang bergaya.
Sebelum ini, Honda pernah menerima kritikan di India mengenai ruang dalaman asas bagi model Mobilio, Amaze sedan dan Brio hatchback. Oleh yang demikian, SUV akan datang ini akan dilengkapi dengan kabin yang berkualiti tinggi.
Buat setakat ini, masih tiada info mengenai penjana kuasanya. Namun terdapat spekulasi yang mengatakan ia bakal dipadankan dengan enjin Mobilio diesel dan petrol 1.5 liter. Ia juga direncana bakal ditampilkan di Delhi Auto Expo 2016.
Honda Mobilio MPV (Spesifikasi Thai)