Mazda 3 versi CKD sudah pun berada di pasaran – Harga antara RM106k – RM121k
Pertengahan Februari lalu, Mazda Malaysia mengesahkan bakal memperkenalkan Mazda 3 versi pemasangan tempatan (CKD) di pasaran.
Dan kini ia menjadi kenyataan apabila model ini telah pun ditampilkan di khalayak ramai. Ia sedang dipamerkan di Mid Valley Megamall mulai hari ini hingga 12 Apr. Malah akan mula menjelajah beberapa pusat membeli-belah terkemuka iaitu Queensbay Mall, Penang (9-12 April ), KSL City, Johor (10-12 April ) dan Setia City Mall, Selangor (15-19 April).
Ditawarkan dengan tiga varian iaitu GL Sedan yang berharga RM106,105, Sedan spesifikasi-tinggi (RM121,105) dan hatchback spesifikasi-pertengahan (RM121,105), ia merupakan harga atas jalan termasuk GST tetapi tanpa insurans.
Kesemua varian ini dipadankan dengan enjin 2.0 liter Skyactiv-G yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 162 hp dan tork setinggi 210 Nm. Bagi transmisi pula, ia tampil dengan kotak gear automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan.
Varian GL Sedan dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 16-inci yang dibaluti tayar 205/60 R16, lampu utama projektor halogen, lampu kabus, indikator pada cermin sisi, tempat duduk balutan fabrik, penghawa dingin manual, i-Stop (stop/start), MZD Connect, ABS/EBD/BA, DSC dan enam beg udara.
Bagi Sedan spesifikasi-tinggi pula, ciri-cirinya sama dengan model CBU iaitu rim aloi bersaiz 18-inci dengan tayar 215/45 R18, lampu utama automatik bi-xenon dengan AFS, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, zon tunggal penghawa dingin automatik, navigasi, pedal penukar gear, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk balutan kulit, kamera undur, cermin pandang belakang anti-silau, kawalan kelajuan, paparan unit kepala, dan bilah pengilap cermin auto. Hanya dua elemen sahaja yang tidak disertakan iaitu brek regeneratif i-Eloop dan bumbung matahari.
Untuk aspek keselamatan, ia turut ditampilkan dengan Smart City Brake System, Rear Vehicle Monitoring dan Lane Departure Warning.
Manakala model hatchback spesifikasi-pertengahan pula dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 18-inci dengan tayar 215/45 R18, penghawa dingin automatik, pedal penukar gear, lampu utama autoamtik bi-xenons, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, tempat duduk balutan fabrik dan bilah pengilap cermin manual.
Mazda 3 versi CKD yang dipasang di Kulim, Kedah ini, ditawarkan pada empat pilihan warna iaitu Blue Reflex Mica, Meteor Grey Mica, Aluminium Metallic dan Artic White.
Mazda 3 sedan spesifikasi-tinggi
Mazda 3 hatchback
Mazda 3 sedan spesifikasi-pertengahan