NAP 2014 : Definisi bagi EEV
Kenderaan Jimat Tenaga atau EEV (Energy Efficient Vehicles) merupakan objektif utama bagi NAP 2014 ini. Malah melalui NAP 2014, pelaksanaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat atau hab operasi pengeluaran serantau bagi EEV bakal diimplementasikan. Namun apakah kita memahami apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan EEV?
Menurut Institut Automotif Malaysia (MAI), EEV membawa maksud sebagai “kenderaan yang mengikut spesifikasi di dalam terma tahap pemancaran karbon (g/km) dan penggunaan bahan api (l/100km). EEV termasuklah kenderaan jimat bahan api, hibrid, EV dan kenderaan yang menggunakan bahan api alternatif, contohnya CNG, LPG, Biodiesel, Ethanol, hidrogen dan Fuel Cell”.
Ia meliputi keseluruhan spektrum terhadap teknologi pembuatan kenderaan seperti penggunaan bahan api atau pun kuasa hibrid yang efisien. Selagi kenderaan berkenaan menepati spesifikasi tersebut, maka ia diklasifikasikan sebagai EEV.
Spesifikasi tersebut terbahagi kepada 14 kategori berlainan iaitu 10 untuk kereta dan empat lagi bagi motosikal. Di mana setiap satunya harus memenuhi kriteria yang telah ditetapkan iaitu penjimatan bahan api dan berat kerangka dengan pemancaran karbon yang memberikan kesan terhadap pengenalan Euro 4 yang masih dikaji pelaksanaan dan mekanismanya.
Apabila ia telah diklasifikasikan sebagai EEV, model tersebut layak menerima insentif yang bakal disumbangkan melalui dana oleh kerajaan termasuklah berkenaan dengan cukai.
Walau bagaimana pun, maklumat lanjut mengenai EEV ini masih belum diumumkan.
Jadi apakah pandangan anda mengenai klasifikasi EEV ini? Kongsikan bersama Infokereta melalui ruangan komen di bawah.