Proton mahu keluarkan model kenderaan setanding import dengan harga jauh lebih rendah
Sebut sahaja Proton, pasti ada isu yang boleh dipetik dan dijadikan bahan kontroversi, apatah lagi dengan kewujudan laman media sosial. Ramai yang berebut-rebut menjadi jaguh papan kekunci atau keyboard warrior, apatah lagi sekiranya sesuatu isu itu menjadi viral.
Dua tahun yang lalu, kecoh seketika apabila sebuah Proton Preve milik seorang wanita mengalami kemalangan di Lebuh Raya Pantai Timur. Di mana enjin Preve tersebut tercampak keluar setelah kenderaan itu terbalik beberapa kali akibat kemalangan terbabit.
Memetik kenyataan yang dikeluarkan oleh mantan peneraju Proton ketika itu, Tan Sri Khamil Mohd Kamil bagi mengulas kejadian terbabit, kata beliau, “Enjin terbabit dipasangkan mengikut rekaan kenderaan terbabit. Preve memiliki zon remuk yang mampu menyerap impak pelanggaran dan mengurangkan risiko remuk pada bahagian penumpang. Walau pun kenderaan yang mengalami kemalangan tersebut remuk di bahagian hadapan namun pintunya masih boleh dibuka. Ini menunjukkan bahawa kerangka model Proton memiliki daya keselamatan yang efektif.”
Cerita mengenainya sepi seketika walau pada masa yang sama masih ramai yang enggan mempercayai kredibiliti Proton terutamanya dalam bab kualiti dan keselamatan.
Baru-baru ini timbul satu lagi isu yang berkaitan dengan aspek keselamatan model keluaran Proton. Di mana Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mustapha Mohamed (TokPa) mengatakan aspek keselamatan Proton setanding dengan model antarabangsa lain.
Katanya, Proton memiliki aspek keselamatan terbaik, berdasarkan penarafan lima bintang daripada Australasian New Car Assessment Program (ANCAP) dan ASEAN NCAP. Sekali gus membuatkan model-model Proton adalah setaraf dengan jenama lain seperti BMW, Volvo, Toyota dan Honda.
Kenyataan ini bagi menjawab soalan yang dikemukakan oleh MP Batu Gajah, V Sivakumar yang meminta pengesahan daripada kementerian tersebut adalah Proton mampu bersaing dengan jenama import lain.
Namun, kenyataan TokPa dianggap sebagai ‘satu perkara yang sukar dipercayai’ oleh segelintir pihak terumanya di kalangan keyboard warrior ini. Ramai yang mempersendakan kenyataan terbabit.
Bagi menjelaskan perkara ini lebih lanjut, Infokereta.com antara media yang diundang bagi sesi penerangan eksklusif mengenai aspek keselamatan Proton oleh Ketua Pegawai Teknikal Kejuruteraan Proton, Abdul Rashid Musa.
Menurut Rashid, selain daripada soal prestasi dan pengendalian, aspek keselamatan sangat dititikberatkan oleh Proton di dalam memproduksi model jenama mereka.
Dalam aspek keselamatan, ia perlu selaras dengan peraturan UN yang telah ditetapkan oleh Kelulusan Kenderaan Baharu atau New Vehicle Type Approvals (VTA). Pada tahun ini sahaja, sebanyak 24 peraturan telah digazetkan menerusi UN, di mana 18 daripadanya adalah untuk kenderaan berpenumpang. Pada tahun 2017 pula, akan ada lagi 22 peraturan bakal digazetkan. Dan menjelang tahun 2020, sebanyak 126 peraturan disasarkan bakal diimplementasikan.
Antara ahli panel VTA ialah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), SIRIM, Kementerian Pengangkutan, MITI, Puspakom dan JKJR. Malah Proton turut mengundang pihak Bomba untuk menyertai sesi ini bagi pihak berkenaan mengetahui tahap keselamatan model Proton.
Peraturan ini sangat penting bagi ‘membawa’ kenderaan terbabit di dalam ujian ASEAN NCAP mahu pun ANCAP bagi menilai tahap keselamatannya, sekali gus memperoleh penarafan daripada badan-badan berkenaan.
Antara aspek keselamatan yang termasuk dalam peraturan UN ini ialah beg udara, keselamatan pejalan kaki, sistem amaran penukaran lorong dan sistem keselamatan penumpang kanak-kanak.
Menurut Rashid, model baharu Proton seperti Preve, Suprima S dan Iriz telah pun menerima penarafan daripada ASEAN NCAP dan ANCAP sendiri. Di mana menerusi ASEAN NCAP, Iriz telah menerima penarafan lima bintang dengan memperolehi markah sebanyak 14.07 bagi ujian Pelindungan Penumpang Dewasa (AOP) dan empat bintang (82%) bagi ujian Pelindungan Penumpang Kanak-kanak (COP).
Malah Preve juga telah menerima penarafan lima bintang daripada Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) dan ANCAP. Preve juga telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori Pelindungan Penumpang Dewasa Bagi Keluarga Sederhana di ASEAN NCAP Grand Prix Awards yang berlangsung di Kuching, Sarawak pada 27 Ogos lalu.
Bukan itu sahaja, Suprima S juga pernah menerima penarafan lima bintang daripada ANCAP pada tahun 2013.
“Bukan mudah untuk mendapatkan penarafan daripada ASEAN NCAP mahu pun ANCAP sendiri. Sebagai contoh, bagi kenderaan yang diuji mulai tahun 2015 ke atas, jika tidak melepasi ujian pelanggaran sesi, kemungkinan hanya mendapat penarafan dua bintang sahaja. Untuk tahun 2016 ke atas pula, jika tidak memiliki ESC atau pun pengingatan pemasangan tali pinggang keselamatan, mungkin hanya tiga bintang sahaja,” ujar Rashid.
Setiap keputusan bagi ujian terbabit boleh didapati di laman web kedua-dua badan berkenaan.
Selain dilengkapi dengan elemen keselamatan termasuk ESC, ABS, EBD, BA, Isofix dan beg udara, model baharu Proton termasuk Preve, Suprima S dan Iriz dilengkapi dengan kerangka kukuh yang diperbuat dengan teknologi Hot Press Forming (HPF) dan keluli tahan karat berkualiti tinggi. Teknologi ini menghasilkan kerangka yang tegap dan kukuh demi keselamatan pengguna. Selain memastikan ia memiliki berat yang ideal bagi penggunaan bahan api yang lebih efisien.
Ketiga-tiga model berkenaan memiliki beberapa bahagian HPF yang diletakkan khusus di bahagian-bahagian penting kerangka bagi memastikann keselamatan di dalam kabin ketika berlakunya pelanggaran. Ia digelar ‘Reinforced Safety Structure’ (RSS).
Rashid juga berkata, “Iriz lebih sarat dengan pelbahai elemen keselamatan pasif dan aktif yang membuatnya layak menerima penarafan lima bintang bagi ASEAN NCAP, ia boleh dikatakan sebuah kenderaan yang ditawarkan dengan harga yang cukup berpatutan di rantau ini yang lengkap dengan ESC bagi semua variannya.”
Malah dari masa ke semasa, Proton sentiasa memperbaiki kelemahan yang ada dan menaik taraf serta mengimplementasikan pelbagai teknologi terkini bagi model baharu keluarannya.
“Proton mahu menghasilkan model kenderaan yang berkualiti tinggi dan kalau boleh, mampu menandingi model import tetapi dengan harga Malaysia iaitu berpatutan dan mampu milik,” ujar Rashid sebelum mengakhiri sesi ini.
2 Comments