Goodyear Malaysia lancar tayar Assurance DuraPlus
Semua pemilik kereta memerlukan tayar yang tahan lama dan tahan lasak bukan? Memahami keperluan ini, Goodyear Malaysia telah melancarkan Assurance DuraPlus, iaitu rangkaian tayar yang dikatakan mampu digunakan sepanjang 100,000 km yang diperkukuhkan dengan DuPont Kevlar bagi menambahkan lagi tahap pelindungan, miliki nilai yang lebih luar biasa serta tahan lama.
Direka khas untuk kenderaan penumpang bersaiz kecil dan sederhana, Assurance DuraPlus turut ditampilkan dengan teknologi TredLife ciptaan Goodyear sendiri. Ia bagi meningkatkan lagi bunga tayar, digabungkan dengan DuPont Kevlar bagi memperkukuhkannya.
“Bagi memenuhi keperluan para pengguna, Goodyear Malaysia telah melancarkan Assurance DuraPlus, produk terkini yang telah dipertingkatkan bagi membolehkan pengguna menggunakannya dalam jangka masa yang lebih panjang serta memiliki perlindungan yang lebih dipercayai,” ujar Varin derjit Singh, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.
Dengan teknologi TredLife, Assurance DuraPlus ini mampu menambahkan lagi bilangan perbatuan yang lebih jauh, iaitu mampu menjangkau sehingga 100,000 km. Dengan kandungan karbon yang bermutu tinggi, bunga tayar dapat dilindungi dan lebih tahan lama. Selain itu, jumlah material getah yang digunakan mampu memaksimumkan lagi pengukuhan penggunaannya mengikut keadaan jalan.
Manakala DuPont Kevlar pula menambahkan lagi pelindungan terhadap tayar Assurance DuraPlus ini. Malah ia juga memberikan lebih ketahanan, kekuatan dan kemantapannya walau pun dalam keadaan suhu yang tinggi.
Dengan jaminan selama enam bulan, pengguna boleh mendapatkan tayar ganti secara percuma jika tayar tersebut rosak disebabkan keadaan jalan apabila kedalaman tayar adalah lebih daripada 6.7mm. Namun jika kerosakan tersebut terjadi pada kedalaman tayar antara 5.5mm hingga 6.6mm, Goodyear akan menyarankan agar pengguna membeli tayar baharu yang sama saiz dan rekaan.
Goodyear Assurance DuraPlus ini didatangkan pada tujuh varian iaitu 165/55 R14 (RM225.99), 185/60 R14 (RM227.37) , 185/65 R14 (RM254.93), 185/70 R14 (RM279.73), 195/70 R40 (RM312.81), 195/60 R15 (RM307.29) dan 195/65 R15 (RM325.21).