Hyundai Genesis bantu hantar mesej ke angkasa
Menonton video yang dibawakan khas oleh Hyundai Motors ini amat membuai perasaan. Namun pastinya perasaan itu lebih hebat dirasai oleh si gadis berusia 13 tahun, Stephanie, berasal dari Texas, USA. Di mana perasaan rindu yang bersarang di dada akhirnya terluah jua setelah Hyundai Motors menjadi perantaraan dan membantunya menghantar mesej tersebut kepada ayahnya yang bekerja sebagai angkasawan di Stesen Angkasa Antarabangsa.
Menerusi kempen ‘A Message to Space’, Hyundai Motors memberinya peluang untuk Stephanie kekal berhubung dengan ayahnya menerusi mesej peribadi dalam huruf yang cukup besar sehingga boleh dibaca dari angkasa.
Memilih Delamar Dry Lake, Nevada, USA, sebagai kanvas, Hyundai Motors telah ‘menugaskan’ 11 buah model Genesis untuk menulis mesej epik tersebut pada keluasan 5.55 km2 dengan menggunakan seretan tayar kenderaan terbabit. Malah “imej trek tayar terbesar” ini turut diiktiraf oleh Rekod Dunia Guinness.
Tugasan ini diberikan kepada pakar pemandu dari Korea, Eropah dan Amerika Syarikat sendiri di dalam merealisasikan kempen ini. Malah imej yang tercipta itu agak menyamai tulisan tangan Stephanie.
Menurut Pengarah Kumpulan Pemasaran Luar Negara Hyundai Motor Company, Scott Noh, “Sejajar dengan wawasan korporat Hyundai Motors iaitu sebagai ‘rangka kongsi seumur hidup dalam dan di luar automobil”, kempen yang menonjolkan falsasah kami untuk memberikan peluang kepada para pelanggan berinterasi menerusi emposi. Walau pun ini bukanlah cabaran yang mudah, namun inilah antara bukti komitmen kami terhadap pelanggan.”