Hyundai Veloster Turbo serba baharu dilancarkan – 2 varian, harga RM149k-RM152k
Bertempat di bilik pameran Hyundai Global Dealership Space Identity (GDSI), Bangsar, pagi ini, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan model sporty coupe Veloster Turbo 1.6L yang menampilkan teknologi terkini Hyundai.
Ia ditawarkan dengan dua varian iaitu Veloster Turbo 1.6L dan Veloster Turbo Sport 1.6L
Dengan gabungan sistem GDI (Gasoline Direct Injection), pemampatan tinggi, pengecas turbo tatal-berkembar (twin-scroll turbocharger), ia merupakan kenderaan Hyundai yang pertama dipadankand engan enjin 1.6 liter T-GDI yang mampu menyalurkan lebih banyak kuasa, penjimatan bahan api, emisi yang lebih rendah dan kebolehpercayaan yang lebih tinggi.
Mampu menghasilkan kuasa sehingga 186 PS dan tork setinggi 265 Nm, Veloster Turbo 1.6L ini mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 214 km/j dan pacuan dari 0-100 km/j dalam hanya 8 saat. Tork maksimum yang boleh dihantar antara 1,500 rpm dan 4,500 rpm bagi memberikan pemanduan yang lebih responsif, manakala peredamnya lebih kukuh bagi meningkatkan keseimbangan kawalan kerangka.
Enjin ini turut dipadankan dengan Dual-Clutch Transmission (DCT) tujuh-kelajuan yang dibangunkan oleh Hyundai Motor Company sendiri. Veloster Turbo ini turut ditampilkan dengan pedal penukar gear dan kawalan transmisi gear SHIFTRONIC® yang mampu menala lebih prestasi. Transmisi ini juga telah ditala khusus bagi memberikan tork yang tinggi dan penentu ukuran prestasi.
“Veloster Turbo 1.6L ini boleh diibaratkan model Hyundai yang tampil dengan teknologi penjana kuasa yang lebih inovasi, sekali gus turut memberikan penggunaan bahan api yang lebih efisien, prestasi yang memberangsangkan dan emisi yang lebih rendah,” ujar Lau Yit Mun, Pengarah Urusan Hyundai-Sime Darby Motors.
Keselesaan pemanduan lebih terserlah dengan adanya Flex Steer System pada roda stereng yang membolehkan pemandu memilih sama ada mahu menggunakan mod Normal, Comfort atau pun Sport.
Bukan itu sahaja, pemasangan pad penebat hud dan menambah material penyerap akustik turut menyumbang kepada bunyi yang lebih senyap pada kabin.
Masih mengekalkan bentangan unik pintu 1+2, Veloster Turbo 1.6L turut menambah beberapa elemen termasuk lampu utama projektor HID dengan lampu nyalaan siang, gril radiator dan lampu belakang LED baharu.
Manakala bahagian bampar belakangnya telah direka semula termasuk menampilkan lampu kabus belakang dan ia bertambah sporty bila mana turut menampilkan ekzos berkembar, peresap yang lebih panjang dan spoiler belakang yang lebih lebar yang disambung pada lampu brek LED.
Model ini turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18-inci yang tampil bersama rekaan baharu dan lebih sporty.
Menjengah bahagian kabinnya, kelihatan Supervision Gauge Cluster eksklusif yang memberikan paparan informasi yang lebih besar dan jelas terletak di antara takometer dan speedometer.
Selain itu, varian turbo ini turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci standard bersama butang penghidup enjin, tempat duduk belakang boleh lipat 60:40, skrin paparan dengan pad sesentuh TFT bersaiz 7-inci, pusat media, sistem bunyi premium (enam pembesar suara, pembesar suara di bahagian tengah dan subwoofer) serta bumbung panoramik.
Untuk menampilkan gaya yang lebih sporty bagi varian Veloster Turbo Sport, tempat duduk sport baharu dengan dua tona warna jingga dan hitam bersama jahitan perkataan “Turbo” turut menambahkan lagi keselesaan optima. Malah varian ini juga lebih sporty dengan pelekat khas pada bahagian luar kerangkanya.
Tanpa mengabaikan aspek keselamatannya, Veloster Turbo turut dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif dan pasif bagi memberikan pelindungan yang lebih maksima buat pemandu dan penumpang. Antara elemen yang ditampilkan termasuklah sistem Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) bagi Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Stereng Berkuasa Pacuan Motor (MDPS). Sistem ini mampu membantu pemandu mengawal kenderaan ketika melalui permukaan jalan yang licin atau pun ketika berada di selekoh dalam kelajuan yang tinggi.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Kawalan Bantuan Mendaki (HAC) dan enam beg udara.
Kesemua model Veloster ini adalah diimport terus dari Korea Selatan.
Veloster Turbo yang hadir dengan dua varian iaitu 1.6L Veloster Turbo GDI dijual pada harga RM148,118.55 dan 1.6L Veloster Turbo GDI Sport pula berharga RM151,745.87.
Dalam masa yang sama, HSDM turut melancarkan Veloster 1.6L varian Premium dengan harga RM129, 066.99. Kesemua harga atas jalan yang ditawarkan ini adalah termasuk GST dan tanpa insurans.
HSDM turut menawarkan waranti selama lima tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Malah servis bantuan 24 jam turut ditawarkan bagi semua model baharu dan sedia ada Hyundai.
Lima warna baharu turut diberi pilihan iaitu Storm Trooper (putih), Young Gun (hitam), Phantom Black, Sunflower (kuning) dan Veloster Red. Tambahan warna bagi 1.6L Veloster Premium termasuklah Vitamin C dan Green Apple.