Volkswagen C Coupe GTE tampil perdana di Auto Shanghai 2015
Nampak gayanya Volkswagen sengaja ‘mencuri’ kegemilangan Auto Shanghai 2015 dengan memperkenalkan barisan model konsep dan baharunya. Selain Scirocco GTS, Volkswagen turut mempertontonkan model konsep C Coupe GTE dan ia dibangunkan untuk pasaran China.
Seakan memberikan ‘bayangan’ model generasi akan datang bagi CC empat-pintu coupe yang mungkin bakal diproduksikan pada tahun hadapan atau pun 2017, model konsep C Coupe GTE kelihatan memperagakan rekaan dan teknologi yang lebih terkini.
Bahagian rekaan kabinnya tidak jauh berbeza dengan model terkini Passat, namun ia menampilkan lebih banyak fungsi dan mengurangkan bentangan yang ‘bersepah’. Memilih untuk menampilkan kluster instrumen digital sepenuhnya termasuk penggunaakn paparan skrin sesentuh bersaiz besar dengan pelbagai-fungsi.
Penumpang di belakang juga memiliki konsol terngah tersendiri yang membolehkan mereka mengakses fungsi kenderaan dan menikmati sistem hiburan yang lebih optima dengan skrin paparan pada bahagian belakang perehat kepala penumpang hadapan.
Model konsep ini turut membayangkan pelarasan plug-in hybrid dengan enjin TSI empat-silinder pengecas turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan yang bergabung tenaga dengan motor elektrik.
Bagi enjin konvensional pula, ia mampu menghasilkan kuasa sehingga 210 PS, sementara motor elektrik pula menambahkan 124 PS bagi memberikan model konsep C Coupe CTE kuasa 245 PS dan tork setinggi 500 Nm.
Ia turut didatangkan dengan bateri lothium-ion yang menjanakan kuasa elektrik sehingga 50 km, sementara mod hibrid pula mampu dipacu melebihi 800 km.
Volkswagen berkata, model konsep ini hanya menggunakan sekitar 2.3 liter per 100 km. Ia juga mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 8.6 saat dan mencapai kelajuan maksimum sehingga 232 km/j atau 130 km/j dalam mod elektrik.