McLaren 540C Coupe bakal menembusi pasaran global
Menjadi ahli kedua dalam barisan Sport Series, McLaren telah pun memperkenalkan model baharu 540C Coupe di Auto Shanghai 2015 yang sedang berlangsung.
Walau pun McLaren 540C mengikut jejak langkah 570S, namun jentera ini telah mengadaptasi “pakej aerodinamik yang telah diperbaharui” termasuk menampilkan rim bersaiz 19- atau 20-inci dengan kekemasan perak atau stealth.
Bagi rekaan dalamannya, pemandu akan mendapati mereka dikelilingi oleh material premium kulit upholstery yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu. Jentera ini juga memiliki sistem hiburan bersaiz tujuh-inci dengan sambungan Bluetooth dan navigasi GPS.
Ledakan kuasanya disalurkan oleh enjin 3.8 liter turbo-berkembar V8 yang mampu menghasilkan 533 hp dan tork sehingga 540 Nm. Ia dipadankan dengan kotak gear seamless shift (SSG) tujuh-kelajuan yang membolehkan jentera ini dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 3.5 saat, 0-200 km/j dalam 10.5 saat dan mampu mencapai kelajuan maksimum pada 320 km/j.
Walau tidak banyak perubahan yang dilakukan namun menurut McLaren, peredam bagi 540C ini telah ditala semula bagi memberikan pengendalian yang lebih bagi pemanduan seharian. Bukan itu sahaja, panel badan aluminium dan gentian karbon monocoque telah digunakan menjadikan berat 540C hanya 1,311 kg iaitu 150kg lebih ringan berbanding model pesaing terdekatnya.
540C ini bakal menjadi model McLaren yang ‘paling berjaya’ dan dijual pada harga bermula £126,000. Ia bakal menembusi pasaran global dan penghantarannya akan bermula awal tahun hadapan.