Perodua ajak pemilik Myvi sertai perhimpunan besar-besaran sempena ulang tahun ke-10
Perodua bakal menganjurkan ‘Myvi Nation’ sempena dengan ulang tahun ke-10 model tersebut pada Mei ini. Malah Perodua turut mengajak kesemua pemilik Myvi untuk berhimpun bersama bagi meraikan ulang tahun model ikonik tersebut yang dijangka berlangsung pada 24 Mei ini bertempat di Setia City Mall,Shah Alam.
Bagi yang ingin mengambil bahagian, pemilik dan/atau pemandu Myvi haruslah mendaftarkan diri di laman web rasmi www.perodua.com.my mulai 21 April hingga 10 Mei ini dengan bayaran sebanyak RM50. Di mana pendaftaran tersebut membolehkan mereka berpeluang memenangi sebuah Myvi edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10, selain mendapat pek hadiah eksklusif bernilai lebih RM400.
“Kami sangat teruja dan gembira untuk meraikan ulang tahun ini, dan sebagai tanda penghargaan, Perodua ingin mengundang orang ramai untuk menyertai majlis sambutan ini yang bakal berlangsung selama dua hari iaitu pada 23 hingga 24 Mei di Setia City Mall,” ujar Datuk Aminar Rashid Salleh, selaku Presiden dan CEO Perodua.
Banyak aktivit menarik bakal dianjurkan termasuklah konsert artis terkenal, pawagam di arena terbuka, peluang menaiki belon panas dan sebagainya.
“Ulang tahun ke-10 Myvi” ini adalah sebahagian daripada inisiatif “Myvi, Love of the Nation” yang telah dimulakan sejak Disember 2014 sehingga Disember 2015 ini.
Perodua Myvi telah mencatatkan rekod sebagai model paling tinggi jualannya sejak dilancarkan pada 25 Mei 2005, dengan melebihi angka 830,000 unit setakat ini.