Lamborghini Aventador LP750-4 Superveloce lebih buas! – Hanya 600 unit untuk seluruh dunia & RM3.5 juta seunit
Pernah ditayangkan di Geneva Motor Show Mac yang lalu, jentera ini kemudiannya telah melakukan penampilan perdana peringkat ASEAN di Singapura dua hari yang lalu.
Acara gilang-gemilang ini turut dihadiri oleh Presiden dan CEO Automobili Lamborghini, Stephan Winkelmann. Sebenarnya kemunculan Lamborhini Aventador LP750-4 Superveloce ini bukanlah ‘penampilan-perdana-peringkat-ASEAN’ sangat kerana sehari sebelum itu, jentera ini telah pun dipertontonkan di Auto Shanghai 2015 yang sedang rancak berlangsung. Ini merupakan penampilan kali ke-empat Aventador LP750-4 Superveloce dipertontonkan di dunia.
Untuk rekod, Aventador LP750-4 Superveloce adalah salah satu varian terkini Aventador. Namun jentera buatan Itali ini telah diubah beberapa elemen spesifikasi bagi memberikan perbandingan dengan versi standard. Ia bagi menjadikan jentera ini lebih bertenaga dan cekap dikendalikan.
Malah Lamborgini turut mengurangkan kadar berat Aventador LP750-4 Superveloce ini tanpa mengenepikan soal kemantapan, kekuatan dan kestabilannya. Bagi mengurangkan beratnya, beberapa material bagi bahagian badannya telah digantikan dengan bahan gentian karbon termasuk pada corong udara dan sayap belakang. Penggunaan bahan gentian karbon ini telah berjaya mengurangkan berat sebanyak 50 kg bagi jentera ini, menjadikannya hanya seberat 1,525 kg.
Bahagian dalam kabin juga tidak terlepas daripada penggunaan gentian karbon,termasuklah papan pemuka dan panel pintu. Malah tempat duduk sports bucket yang lebih nipis dan keras turut diimplementasikan. Jika bagi varian standard Aventador memiliki sistem hiburan, karpet lantai dan penebat bunyi, namun elemen tersebut tiada pada Aventador LP750-4 Superveloce.
“Bagi Superveloce ini, pakar kejuruteraan Lamborghini telah mengurangkan kadar berat jentera ini, dan menampilkan pelbagai elemen berteknologi tinggi termasuk rekaan yang lebih eksklusif, standard kualiti dan juga seni pembuatannya. Hasilnya, Superveloce ini nampak lebih eksklusif, asli dan merupakan model produksi yang penuh emosi dalam sejarah jenama ini,” ujar Winkelmann.
Bagi penjana kuasa yang telah disemak semula, supercar ini telah ditampilkan dengan ‘jantung’ 6.5 liter aspirasi natural V12. Dengan sistem ekzos yang lebih ringan yang turut menambah baik respons enjin, jentera ini mampu mengaumkan kuasa sehingga 750 hp pada 8,400 rpm. Malah tork yang dimuntahkan juga lebih tinggi dengan ledakan maksimum 690 Nm pada 5,500 rpm.
Dengan hamburan kuasa dan tork yang begitu cemerlang membolehkan jentera ini lebih membuas dari 0-100 km/j dalam hanya 2.8 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai melebihi 350 km/j! Memang agak seram dengan kelajuan yang mampu dicipta, namun mujur ia dilengkapi dengan brek seramik karbon yang membenarkan Superveloce ini mampu berhenti dari 100 km/j hanya dalam 30 meter.
Enjin sehebat ini pastinya tidak lengkap tanpa rakan seperjuangannya iaitu transmisi. Di mana ia telah dipadankan dengan transmisi ISR tujuh-kelajuan dan Lamborghini mengatakan ia merupakan kotak gear manual yang paling berkuasa di dunia.
No.4 yang ada pada namanya adalah mewakili pacuan semua-roda. Di mana sistem gabungan kawalan elektronik “Generation IV” yang mengawal tork bagi menghantar kuasa lebih dinamik. Gandar belakang boleh ‘terkunci-sendiri’, begitu juga bahagian hadapan yang dikawal oleh ESP menerusi keupayaan dinamik yang ditampilkan.
Superveloce ini juga tampil dengan tiga pelarasan iaitu Strada (jalan biasa), Sport dan Corsa (litar lumba) bagi mengubah karakteristik enjin, transmisi, peredam dan stereng.
Warna Rosso Bia seperti mana unit yang dipamerkan pada majlis penampilan perdana ini memang dibangunkan khas, namun menerusi program personaliti Lamborghini’s Ad Personam, ia turut menawarkan pilihan lain termasuk merah yang nampak lebih mainstream.
Aventador LP750-4 Superveloce ini diproduksi secara terhad iaitu hanya 600 unit di seluruh dunia. Jadi konsep ‘Siapa Cepat, Dia Dapat’ telah dipraktikkan. Menurut Winkelmen, sebanyak 400 tempahan telah dibuat dan bahagian produksinya tidak akan menghasilkan unit melebihi yang direncanakan kerana ia benar-benar eksklusif.
Bagi Lamborghini Kuala Lumpur, sebanyak lima unit telah diperuntukkan, dan ketika berita ini ditulis sebanyak empat unit daripadanya telah ditempah. Anda berminat? Harga yang dijangka sekitar RM2 juta tanpa cukai dan RM3.5 juta termasuk cukai. Amacam? Ada berani??? :p