ETCM serah Nissan Sylphy kepada pemenang kempen ‘Pandu Uji & Menang Besar’
Pemenang bagi kempen ‘Pandu Uji dan Menang Besar’ yang dianjurkan oleh Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) sempena sambutan Tahun Baru Cina lalu telah pun diumumkan. Noor Atikah Sunar telah dinobatkan sebagai pemenang bagi kempen ni dan menerima seunit Nissan Sylphy. Majlis penyerahan hadiah telah dilangsungkan baru-baru ini di bilik pameran Nissan ETCM di Ipoh.
Kempen jualan ‘Pandu Uji dan Menang Besar’, yang diadakan sepanjang Januari dan Februari tahun ini menawarkan para pelanggan peluang untuk memenangi sebuah Nissan Sylphy serba baharu. Semua pelanggan yang membeli kenderaan Nissan layak menerima lapan borang penyertaan. Sementara mereka yang memandu uji sebuah kereta Nissan pula diberi satu borang penyertaan.
“Kempen ‘Pandu Uji dan Menang Besar’ dilancarkan kerana kami mahu menggalakkan orang ramai untuk pandu uji dan merasai sendiri keseronokan memandu sebuah kereta Nissan. Kami percaya bahawa ini adalah aspek penting dalam proses pemilihan kereta. Jadi, kami menggalakkan sesi pandu uji melalui kempen ini,” kata Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng.
Gadis bertuah berusia 24 tahun yang bertugas sebagai seorang guru di Pulau Pinang ini telah memandu uji dan membeli sebuah Nissan Almera. Katanya, “Saya jatuh cinta dengan Nissan Almera sejak ia mula-mula dilancarkan lagi. Saya selalu berangan memilikinya kerana ia sebuah sedan yang praktikal dan luas. Saya tidak percaya bahawa pembelian Almera membolehkan saya memenangi sebuah Nissan Sylphy baharu”.