Honda HR-V tawan hati & sanubari
10 hari sebelum ia dilancarkan untuk pasaran Malaysia, pada hujung Januari lalu, Infokereta.com dan sekumpulan rakan media permotoran telah diterbangkan ke Chiangmai, Thailand, untuk memandu uji Honda HR-V spesifikasi Thailand.
Dilancarkan pada 5 Februari lalu, Honda Malaysia menawarkan model HR-V ini pada tiga varian iaitu Gred E, Gred S dan spesifikasi tertinggi, Gred V.
Ketiga-tiga varian ini dikuasakan oleh enjin 1.8L i-VTEC SOHC yang mampu menyalurkan kuasa sehingga 140 hp pada 6,500 rpm dan tork setinggi 172 Nm pada 4,300 rpm. Enjinnya sama dengan Civic 1.8, cuma sedikit berbeza dengan kuasa dan tork yang dihasilkan. Di mana Civic 1.8 tampil dengan kuasa sehingga 139 hp pada 6,500 rpm dan tork puncaknya pula 174 Nm pada 4,300 rpm.
Selain berkongsi platform dengan City dan Jazz, HR-V juga menggunakan transmisi CVT yang dibangunkan di bawah teknologi unggul ciptaan Honda, Earth Dreams. Iaitu sama dengan kedua-dua model berkenaan, namun memiliki penetapan yang sedikit berbeza.
Sehingga April lalu, Honda Malaysia telah mengesahkan sejumlah 13,073 unit HR-V telah ditempah. Daripada jumlah tersebut, sehingga kini sebanyak 3,620 unit telah didaftarkan. Ini menunjukkan perkembangan yang sungguh memberangsangkan. Ternyata telahan Infokereta.com bahawa adik kepada CR-V ini bakal mencetus fenomena luar biasa setibanya di pasaran tempatan adalah tepat.
Setelah hampir dua bulan pelancarannya, pada akhir April lalu, sekali lagi Infokereta.com berpeluang memandu uji HR-V ini iaitu bagi unit pemasangan tempatan (CKD) di sekitar Pulau Langkawi.
Bersama Danny Tan dari Paultan.org dan seorang lagi teman media, kami bergilir-gilir memandu HR-V ini selama tiga hari, mengelilingi Langkawi yang terkenal memiliki sifat kaya dengan pelbagai corak jalan.
Sejujurnya, tiada banyak jurang perbezaan antara model CKD atau pun versi Thailand yang pernah dipandu pada Januari lalu. Prestasi dan pengendaliannya sama.
Baca ulasan HR-V versi Thailand di sini.
Walau pun Langkawi agak terhindar daripada kesesakan lalu lintas, tidak seperti di Lembah Klang, namun ia tidak bermakna pandu uji kali ini terlepas daripada sebarang cabaran pemanduan. Melalui pekan besar dan kecil, dari Kuah menuju ke Chenang kemudian merentasi banyak kawasan kampung sehingga ke Tanjung Rhu yang terletak di mukim Ayer Hangat, cabaran pertama dilalui.
HR-V dipacu dalam kelajuan yang sederhana (mengikut keadaan jalan) dan adakalanya terpaksa memperlahankan kenderaan, namun dalam keadaan ini, SUV comel ini tetap mampu memberikan prestasi yang dikehendaki. Kerahan tenaga enjinnya tidak begitu ditagih kerana ia pantas memberikan respons yang diingini.
Memandu transmisi CVT sebenarnya agak ‘kurang puas’ berbanding dengan kotak gear automatik konvensional. Biar pun tujahan kuasanya tetap optimum, tetapi momentumnya tidaklah sebegitu cemerlang. Respons CVT sedikit perlahan untuk penambahan nisbah gear. Ini memang konsep CVT kerana antara objektifnya ia mahu memberikan penjimatan bahan api yang lebih efisien.
Namun mujur juga HR-V dilengkapi dengan mod Sport. Jika inginkan kuasa pecutan yang lebih pantas dan memberangsangkan, anjak gear pada mod Sport, ia memang cukup membantu. Apabila sudah mendapat kelajuan yang diingini, tukar semula pada gear D.
Penulis mengakui, corak jalan di Langkawi antara yang digemari jika membuat sesi pandu uji, seperti mana yang diperkatakan pada perenggan atas, pulau lagenda ini memiliki kepelbagaian corak jalan. Sekali gus memberikan lebih kepuasan dalam pemanduan.
Tanpa pedal penukar gear di belakang stereng seperti mana model versi Thai, penggunaan tuil gear seperti biasa untuk ‘bermain’ antara gear D dan mod Sport juga menyeronokkan. Apatah lagi ketika melayan kawasan berbukit dan jalan berselekoh. Keasyikan pemanduan masih dirasai.
Sesekali sistem brek diuji secara mendadak, terutamanya ketika berhadapan dengan pengguna jalan raya yang tiba-tiba membelok atau pun ada haiwan termasuk monyet bermain-main di atas jalan. Dalam situasi ini, jika HR-V dibrek secara mengejut, Emergency Stop Signal (ESS) akan automatik berfungsi. Ia memberikan amaran pada kenderaan lain terutamanya yang berada di belakang bahawa berlakunya brek kecemasan ini.
Ini antara usaha cemerlang Honda dalam mempertingkatkan aspek keselamatan di dalam model kenderaan buatannya. Selain ESS, HR-V turut dilengkapi dengan Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Mendaki (HSA), selain memiliki enam beg udara untuk model spesifikasi tertinggi (hanya dua untuk varian pertengahan dan rendah) serta Isofix, selain ABS dan EBD.
HR-V juga turut disertakan dengan teknologi yang lebih terkini termasuk dengan adanya Brek Parkir Elektrik dan Auto Brake Hold.
Bagi menguji lagi kestabilan HR-V ini, kami melenjannya di kawasan jalan berselekoh dan berbukit sehingga ke Datai berhampiran dengan Pantai Pasir Tengkorak. Kawasan di sini kurang dilalui kenderaan lain, maka kami sempat melenjan HR-V ini ‘kaw-kaw’ di laluan yang menyeronokkan hampir enam kilometer.
Dengan sedikit kelajuan yang agak tinggi dan pemanduan yang lebih berhati-hati, ketika melalui jalan berselekoh, kestabilan HR-V teruji. Sistem suspensi, brek, dan stereng berkuasa ternyata mampu memberikan kerjasama dan respons yang memuaskan hati. Namun jika dipandu laju ketika melenjan selekoh atau jalan berliku, harus lebih berhati-hati, sesekali terasa sedikit under steer namun ia masih mampu diatasi dengan adanya sistem suspensi yang mantap.
Seperti mana ketika pengalaman menjadi penumpang pada tempat duduk belakang sewaktu sesi pandu uji HR-V di Chiangmai, penulis mengalami motion sickness yang agak teruk sewaktu rakan pemandu cuba ‘mencabar’ kemantapan SUV ini dengan memandunya secara agresif di jalan berselekoh. Atas dasar pengalaman itu, penulis lebih ‘bersedia’ ketika duduk di tempat duduk belakang. Sesekali rakan pemandu turut memandu agresif sewaktu merentasi corak laluan yang lebih kurang sama, untungnya penulis mampu bertahan.
Tetapi tewas juga apabila menuruni bukit ‘ala Genting Highland’ sewaktu kami singgah seketika di Gunung Raya, apabila rakan pemanduan cuba memandu agak agresif, motion sickness kembali menyerang sehingga memaksa penulis bertukar tempat dengan Danny yang sebelum itu duduk di sebelah pemandu.
Mungkin ini memang kelemahan penulis yang mudah terkena gejala ini, namun diakui, olengan badan HR-V turut menyumbang. Ia agak terasa dan ‘rasa’ tersebut lebih ketara jika dipandu dalam keadaan agresif sebegitu. Dah terbiasa jadi drive atau co-driver, memang beginilah ragamnya bila jadi penumpang!
Tidak cukup dengan pemanduan di atas jalan raya biasa, kami turut menguji HR-V ini di ‘litar ujian’ di perkarangan Kompleks Sukan Langkawi. Ia bagi mengetahui sejauh mana kehebatan VSA dan NVH HR-V ini. Malah kami turut diberi peluang menguji sama pencabar terdekat HR-V termasuklah Mitsubishi ASX, Kia Sportage dan Hyundai Tucson. Tidak dinafikan, antara model-model tersebut memiliki keistimewaan tersendiri. Namun sehingga kini, kehebatan jentera buatan Jepun ternyata sukar untuk ditewaskan oleh pencabarnya dari Korea.
Aspek keselamatan termasuk VSA yang ada pada HR-V ini memang sangat-sangat membantu terutamanya ketika berhadapan dengan situasi yang tidak terjangka termasuklah sekiranya kenderaan yang dipandu hampir hilang kawalan disebabkan beberapa faktor termasuk halangan di jalan raya, permukaan jalan yang basah dan licin serta banyak lagi.
Sekurang-kurangnya VSA dapat membantu pemandu mengawal kenderaan serta mengurangkan risiko berlakunya kemalangan. Ini sebabnya Honda mengurangkan elemen yang dianggap sebagai perhiasan (termasuk bumbung panoramik), untuk memperkayakan aspek keselamatan termasuk jumlah beg udara dan VSA ini.
Jadi kalau hendak membeli kenderaan baharu, tolong tanya pada jurujual berkenaan, apakah elemen keselamatan yang ada (atau Google sahaja!). Tetapi apalah gunanya ada sejumlah beg udara atau sistem keselamatan, jika sewaktu memandu, pemakaian tali pinggang keselamatan diabaikan termasuklah pemandu dan penumpang!
HR-V memiliki ukuran 4294mm panjang, 1772mm lebar, 1605mm tinggi dan jarak roda pula 2610mm, sekali gus memberikan ruang dalaman yang lebih luas berbanding Honda Jazz. Malah ruang kaki dan kepala di bahagian tempat duduk penumpang belakang juga boleh dikatakan cukup optimum. Berada di tempat duduk belakang dengan tiga orang penumpang dewasa bertubuh sederhana masih mampu memberikan keselesaan.
Malah sama juga seperti Jazz, HR-V turut menawarkan tempat duduk Ultra Seats yang membolehkan tempat duduk belakang dilipat dengan lebih mudah serta memiliki empat konfigurasi susunan iaitu trunk space, utility mode, tall mode dan long mode, bergantung pada kesesuaian muatan yang ingin dibawa.
Walau bagaimana pun, Ultra Seats ini tidak boleh dilipat secara rata di bahagian lantai kenderaan, tidak seperti Jazz. Apa pun yang masih menawarkan ruang kargo yang lebih luas. Ia memiliki ruangan sehingga 1,665 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya atau lebih kurang 688 liter jika berada dalam keadaan biasa.
Unit pandu uji yang diberi iaitu daripada spesifikasi tertinggi iaitu, V, ia menampilkan tempat duduk balutan semi-kulit, konsol tengah tinggi dengan tempat perehat tangan, meter ambien dengan tujuh warna pilihan bagi menaikkan mood pemandu, poket konsol dengan port USB dan HDMI, tujuh pemegang cawan, paparan audio tujuh-inci, enam pembesar suara, kawalan pemanduan, butang kawalan audio pada roda stereng, Mod ECON, panel penghawa dingin sentuhan auto dan corong udara berbentuk panjang yang dikatakan mampu menyalurkan udara yang lebih menyeluruh ke segenap ruang kabin.
Selain itu, ia turut dilengkapi dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin dan kawalan kelajuan. Papan pemuka di bahagian kokpit pula dilengkapi dengan instrumen piano black dan permukaan sentuhan lembut.
Jika ada yang bertanya mengapa varian HR-V untuk Malaysia tidak dilengkapi dengan bumbung panoramik seperti mana yang ada pada model di Thailand. Menurut Honda, ia lebih kepada sekadar hiasan dan bukan keperluan utama. Maka pihak Honda Malaysia memilih untuk tidak menampilkannya (jika ada, pastinya harganya akan sedikit tinggi), sebaliknya memperbanyakkan lagi elemen keselamatan.
Berkenaan dengan imej luarannya, ibarat jatuh cinta pertama, hati ini memang sudah tertawan dengan paras rupanya ketika ‘bertentangan mata’ buat pertama kali di Chiangmai. Bagi penggemar SUV, imej yang ditonjolkan oleh HR-V ini memang sedap mata memandang. Malah ia turut menampilkan sisi profil yang sporty dan sangat sesuai dengan generasi muda khususnya.
Bagi Gred V, bahagian hadapannya cukup menyerlah dengan padanan lampu utama LED, lampu pencahayaan siang LED dan gril yang penuh bergaya.
Ia turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 16-inci dan bagi menampakkan imej yang lebih bergaya, antena sirip jerung juga dipadankan, selain mampu memberikan kesan aerodinamik yang lebih baik.
Manakala bahagian belakangnya menampilkan lampu kombinasi LED yang membiaskan sedikit imej agresif buat HR-V ini.
Pembuka pintu pada bahagian penumpang belakang agak tersorok, membuatkan ramai yang beranggapan HR-V ini hanya memiliki dua-pintu. Namun itulah antara keistimewaan yang ditonjolkan oleh Honda untuk HR-V di mana ia menampilkan pembuka pintu bahagian penumpang belakang yang tersorok, bagi menyerlahkan lagi imej umpama coupe.
Bagi memberikan sedikit kelainan dan menambahkan lagi paras rupanya, Honda Malaysia turut menawarkan Pakej Modulo dengan dua pilihan menarik bagi gaya luaran iaitu Sport Aero Package bernilai RM3,950 dan Tough Advance Package berharga RM3,800. Manakala dua pakej aksesori dalaman juga ditawarkan iaitu Smart Utility berharga RM1,650 dan Urbane Utility pula ialah RM1,550.
Secara konklusinya, Honda HR-V ini hadir dengan pakej yang hampir sempurna sebagai sebuah model SUV bersaiz comel dengan harga yang berpatutan dan berbaloi untuk dimiliki.
Spesifikasi :
Enjin : 1.8 liter 4-silinder, 16 valve, SOHC I-VTEC
Transmisi : CVT
Kuasa maksimum : 140 hp @ 6,500 rpm
Tork maksumum : 172 Nm @ 4,300 rpm
Sistem suspensi : MacPherson Strut (hadapan) & Torsion Beam (belakang)
Kapasiti tangki bahan api : 50 liter
Warna pilihan : Alabaster Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Taffeta White, Cyrstal Black Pearl & Ruse Black Metallic
Harga : RM98,689.79 (Gred S), RM108,026.50 (Gred E) & RM118,228.50 (Gred V)