RON 95 untuk golongan yang kurang berkemampuan?
Kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor siang tadi berhubung tentang bahan api RON 95 agak mengejutkan dan menjadi topik panas di media sosial. Ia bukan topik ‘RON 95 bakal naik harga lain’. Tetapi berhubung dengan terdapat satu polisi baharu yang bakal diimplementasikan berkenaan dengan minyak RON 95.
Keputusan ini diambil berikutan ramai yang mengambil kesempatan ke atas subsidi bahan api ini. Maka kerajaan dalam proses untuk memperkenalkan polisi baharu bahawa RON 95 hanya untuk golongan yang kurang berkemampuan sahaja. Kemungkinan besar ia akan mula diimplementasikan pada Mei atau Jun tahun ini.
Menurut Tengku Adnan, ramai rakyat Malaysia yang mampu memandu kenderaan mewah seperti Toyota Alphard atau pun Mercedes Benz tetapi menggunakan bahan api RON 95. Sepatutnya golongan sebegini tidak layak untuk menggunakan RON 95 dengan harga subsidi kerana mampu membeli bahan api RON 97. Malah terdapat juga rakyat asing yang menetap di Malaysia atau pun dari negara jiran seperti Singapura dan Thailand juga didapati sewenang-wenangnya menikmati subsidi bahan api ini.
Jadi bagi mengelakkan ia semakin berleluasa, maka pihak kerajaan mahu memperkenalkan polisi ini iaitu hanya golongan yang kurang berkemampuan layak menikmati subsidi bahan api ini.
Buat masa ini harga bagi RON 95 ialah RM2.10 seliter (subsidi 63 sen) dan RON 97 pula ialah RM2.80.
Walau bagaimana pun, polisi ini masih sedang diteliti oleh Datuk Seri Abdul Wahid Omar dari Jabatan Perdana Menteri. Dan buat masa ini, mekanismanya juga sedang dikaji.
Jika perkara ini mendapat kelulusan dari jemaah menteri untuk diimplementasikan, agak-agaknya bagaimanakan mekanisma yang bakal digunakan untuk mengimplementasikannya? Adakah dengan menggunakan kad subsidi bagi bahan api dan ia dikategorikan mengikut kapasiti enjin kenderaan yang digunakan (contohnya hanya kenderaan 2.0 liter ke bawah sahaja yang layak menikmati subsidi bahan api).
Apa pun, jika polisi ini dikuatkuasakan, diharapkan agar pelaksanaannya lebih telus supaya tidak mengundang kontroversi pula. Juga berharap agar pihak berkuasa lebih memperketatkan undang-undang dan pengawasan terhadap penyeludupan bahan api dan memantau warga asing (sama ada yang menetap di negara ini atau pun yang datang dari negara jiran) daripada turut menikmati subsidi bahan api ini.
Apa kata anda tentang isu ini?