Peugeot tayang model 508 facelift di FB
Menerusi paparan di FB yang mula dimuat naik malam tadi, Peugeot telah pun menayangkan foto teaser bagi model 508 facelift, seakan memberikan petunjuk ia sedang menanti detik untuk dilancarkan.
Pada Mac lalu, Peugeot menerusi Nasim Sdn Bhd telah mengumumkan bakal melancarkan model facelift bagi 508 pada suku kedua tahun ini. Selepas melancarkan model 308 serba baharu pada 8 April lalu, kini 508 pula menantikan giliran untuk berada di ruang pameran Peugeot di seluruh negara.
Telah pun dilancarkan di peringkat global pada September 2014, ia merupakan model facelift daripada barisan Peugeot 508 terdahulu iaitu 508 SW estate, 508 RXH estate dan 508 HYbrid4 sedan.
Kemungkinan besar ia akan membawa masuk varian wagon dan sedan, seperti mana yang ada pada pasaran sekarang. Namun Nasim masih belum mendedahkan lebih terperinci mengenai model ini. Adakah ia dijanakan oleh enjin 1.6 THP yang boleh menghasilkan kuasa sehingga 165 Hp pada 6,000 rpm dan tork setinggi 240 Nm pada 1,400 rpm serta 2.0 BlueHDi dengan kuasa 150 Hp pada 4,000 rpm serta tork 370 Nm pada 2,000 rpm?
Infokereta.com akan membawakan info selanjutnya mengenai perkembangan Peugeot 508 facelift ini. Tungguuuu!!