Honda City 2014 telah selamat ‘mendarat’ di Thailand
Pelancaran di peringkat globalnya telah berlangsung pada November 2013 yang lalu dengan memilih India sebagai lokasi pengenalannya. Kemudian pada awal Januari 2014, ia dilancarkan bagi pasaran India. Kini, giliran Honda City 2014 dibawa masuk ke Thailand pula.
Menawarkan enam varian, Honda City ini dijual pada harga bermula 550,000 baht. Di mana kesemua varian dikuasakan oleh enjin 1.5 liter i-VTEC yang juga boleh dijanakan dengan bahan api E85. Mampu menghamburkan kuasa maksimum 117 hp pada 6,000 rpm dan puncak tork 146 Nm pada 4,700 rpm, ia turut dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan Seven-Step CVT menggantikan transmisi automatik lima kelajuan yang digunakan oleh model sebelumnya.
Enam varian yang ditawarkan itu ialah S MT yang dijual pada harga 550,000 baht (RM55,650), S AT pula 589,000 baht (RM59,600), V (649,000 baht atau RM65,670), V+ (689,000 baht atau RM69,720), SV (734,000 baht atau RM74,270) dan SV+(749,000 baht atau RM75,790).
Antara elemen menarik yang turut ditampilkan pada ruangan kabin Honda City ini ialah sistem infotainmen yang turut dilengkapi dengan skrin sesentuh bersaiz tujuh inci, sistem penghawa dingin automatik dengan panel kawalan sesentuh bagi varian SV dan SV+. Manakala varian lain pula hanya sistem penghawa dingin manual dan sistem audio standard.
Untuk varian V, V+, SV dan SV+, tolok meter berkembar tampil dengan gaya iluminasi hasil daripada lingkaran lampu berwarna biru dan perumah skrin paparan pelbagai informasi. Manakala untuk varian S hanya iluminasi ambar.
Lain-lain ciri bagi varian SV dan SV+ ialah termasuk butang penghidup enjin, roda stereng pelbagai fungsi dengan pedal penukar gear, cruise control, butang kawalan radio dan butang alat bebas tangan bagi penggunaan telefon bimbit
Berbanding dengan Honda City 2014 yang dibawa masuk ke India, kesemua varian yang ditawarkan pada Thailand dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang lebih bagus iaitu ABS, VSA, Hill Hold Assist dan Isyarat Perberhentian Kecemasan.
Manakala bagi varian V+ dan SV+ pula dilengkapi dengan ciri keselamatan standard dan ditambah beg udara i-side, dan untuk bahagian sisi. Bagi varian yang ada ‘+’ pada namanya, juga dilengkapi dengan elemen tambahan iaitu kamera undur pelbagai-sudut bersama tiga tahap pelarasan.
Honda City 2014 bagi Thailand didatangkan pada warna Modern Steel Grey, Carnelia Red, Crystal Black, Alavaster Silver, Taffeta White, Brilliant Sport Blue dan Golden Brown.
Agak-agaknya bilakah pula giliran Honda City 2014 ini tiba di Malaysia?