Volkswagen Jetta Edisi terhad dilancarkan – Jetta Club Edition RM122,888 & Jetta Sport Edition RM132,888
Khas untuk anda yang gemarkan gaya, inilah antara pilihan kereta yang bersesuaian dengan gaya hidupmu. Malam ini, Volkswagen Malaysia Group (VGM) telah melancarkan model Jetta Edisi Terhad dalam satu Parti Pop Up yang eksklusif. Ia hadir dengan dua varian iaitu Jetta Club Edition dan Jetta Sport Edition.
Bagi Jetta Sport Edition, ia hadir dengan kit badan asli Volkswagen Zubehör Aerokit yang merangkumi spoiler hadapan, sisi, bahagian bawah belakang dan spoiler pada bahagian but belakang. Ia juga tampil dengan rim aloi SILEX bersaiz17 inci yang dibalut tayar Goodyear Assurance TripleMax, cermin tingkap dengan filem keselamatan ECOTINT SafetyShield dan unit multimedia bersama sistem navigasi.
Manakala bagi Jetta Club Edition, biar pun dari sudut luarannya kelihatan mirip seperti model standard Jetta, ia tampil sedikit kelainan dengan kehadiran sistem audio bersama navigasi dan dipasang dengan filem keselamatan ECOTINT SafetyShield.
Pengarah Urusan Volkswagen Malaysia, Armin Keller berkata, “Jetta Edisi Terhad yang dipasang enam beg udara mempunyai reka bentuk yang menggabungkan aspek fungsi dan bentuk dengan sempurna. Dengan Aerokit tulen, model Edisi Terhad ini nyata memiliki penampilan yang berani dan sudah pasti meningkatkan lagi tarikan visualnya.”
Hanya 500 unit Jetta Club Edition dan Jetta Sport Edition telah ditawarkan mulai Mei 2015 sehingga stok masih ada. Jetta Club Edition dijual pada harga RM122,888 dan Jetta Sport Edition pula RM132,888.
Ia didatangkan dalam warna putih (Candy White), perak (Reflex Silver), kelabu (Platinum Grey) dan hitam (Deep Black).
Jetta Sport Edition