Mazda CX-5 facelift sudah ada di bilik pameran
Bulan lalu, Mazda 6 facelift sudah pun berada di bilik pameran, kini giliran CX-5 pula. Walau pun tidak banyak perbezaan yang ditampilkan, namun sedikit kelainan itulah yang memberikannya imej yang lebih segar.
Model import sepenuhnya (CBU), CX-5 2.5L ini dijual pada harga RM167,610 untuk versi pacuan dua-roda dan RM177,610 untuk pacuan semua-roda. Kedua-duanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, iaitu RM7,000 lebih mahal berbanding harga model sebelumnya.
Kehadiran lampu utama LED baharu dengan lampu nyalaan siang memberikan kelainan buat model facelift ini, di samping rekaan gril yang diberi penambah baikan dengan kepingan berwarna kelabu dan lampu kabus yang sedikit kecil yang telah direka semula.
Pada bahagian belakangnya, tidak ada perubahan yang dilakukan, melainkan penampilan lampu dengan LED sahaja. Bukan itu sahaja, rim aloi bersaiz-17 inci dengan rekaan yang sama turut dikekalkan seperti mana model terdahulu.
Begitu juga dengan bahagian kabin, rekaan ringkas masih dipertaruhkan, melainkan kekemasan berwarna perak pada papan pemuka (kekemasan hitam berkilat pada model sebelumnya), butang kawalan suhu yang telah dipertingkatkan, tuil gear yang direka semula serta brek parkir elektronik baharu.
Seperti mana model baharu bagi Mazda 2 dan 3, CX-5 facelift ini juga menampilkan sistem hiburan MZD Connect. Manakala skrin sesentuh bersaiz tujuh-inci masih kekal pada perumah unit kepala yang lama.
Ia menampilkan enjin 2.5 liter yang mampu menghamburkan kuasa maksimum sehingga 184 hp pada 5,700rpm dan puncak tork 250Nm pada 3,250rpm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear SkyActiv-Drive automatik enam kelajuan dengan elemen baharu iaitu mod Sport bersama suis kawalan yang lebih ranggi.
Malah Mazda turut menambahkan lagi keselesaan bagi SUV ini termasuk mengurangkan tahap kebisingan di dalam kabin sehingga 10%. Malah struktur tempat duduknya juga telah direka semula bagi keselesaan yang lebih optima.
Elemen standard lain yang masih dikekalkan termasuklah kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, lampu dan bilah pengilap cermin auto, dua-zon kawalan suhu automatik, tempat duduk hadapan dengan pelarasan automatik, balutan kulit upholstery, navigasi dan sistem i-Stop.
Malah kit keselamatan juga dikekalkan iaitu enam beg udara, ABS dengan EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan, ISOFIX dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).