Audi TT baharu dilancarkan – Harga RM285k
Audi Malaysia telah pun melancarkan model Audi TT baharu yang muncul dengan varian 2.0 TSFI. Model generasi ketiga ini dijual pada harga atas jalan RM284,999 dengan GST dan tanpa insurans.
Model coupe baharu ini memiliki imej luaran yang lebih garang dan maskulin, ia jelas kelihatan pada bahagian hadapannya termasuk pada gril haksagon yang lebih tebal dan mendatar berbanding sebelum ini. Malah perumah lampu utama xenon yang menonjol dengan gandingan lampu nyalaan siang LED turut menyerlahkan lagi karakter Audi TT baharu ini. Ia juga turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 245/40.
Pada bahagian belakang, spoiler yang disambung dari trunk lid telah meningkatkan aliran udara dan pergerakan kuasa pada 120 km/j. Selain itu, jaluran lampu brek ketiga yang diposisikan semula dan dua paip ekzos berbentuk bulat turut membiaskan imej lebih berkarakter.
Bagi menambahkan imej yang lebih agresif, Audi turut menawarkan model ini dengan pakej S (pilihan antara RM30k bergantung pada elemen yang dikehendaki) termasuk bampar hadapan yang lebih tajam, sisi lebih sporty dan peresap belakang dengan rim bersaiz 19-inci. Selain itu, lampu utama LED Matrix turut boleh dipilih dengan harga RM9,000.
Menjengah bahagian kabinnya, rekaan minimalis menjadi pilihan bagi papan pemukanya termasuk corong udara yang sedikit besar yang memang menjadi trademark bagi model TT. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan panel TFT LCD bersaiz 12.3-inci dengan navigasi dan peta 3D. Manakala tempat duduk sport balutan kulit Alcantara juga ditampilkan.
Audi turut menawarkan pilihan sistem bunyi Bang & Olufsen dengan 14-saluran amplifier dan 12 pembesar suara, untuk mendapatkannya, hanya RM3,000 sahaja bagi pek ini.
Audi TT baharu ini dijanakan oleh enjin 2.0 TFSI yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 230 hp dan tork setinggi 360 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear klac-berkembar S Tronic dengan enam-kelajuan bersama pedal penukar gear. Model coupe ini boleh dipacu daripada 0-100 km/j dalam hanya 5.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 250 km/j.
Mengenai penggunaan bahan apinya, Audi mendakwa ia boleh memberikan penjimatan yang efisien iaitu sekitar 6.3 liter bagi setiap 100 km.
Waranti bagi setiap pembelian model ini ialah selama empat tahun atau 120,000 km, mana yang tiba terlebih dahulu.