Lebuhraya Persekutuan Km19 ditutup secara berkala pada 14-15 Mei ini
Lebuhraya Persekutuan KM19 iaitu berhampiran KTMB Subang akan ditutup secara berkala pada 14 Mei ini selama dua hari bagi pelaksanaan kerja-kerja merombak talian penghantaran sedia ada Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Menurut kenyataan bersama TNB dan Projek Lebuhraya Usahasama Berhad (PLUS), laluan trafik itu akan ditutup secara berkala bermula 12.01 tengah malam hingga 4.30 pagi bagi membolehkan kerja pemotongan dan penyambungan pengalir dilaksanakan, laporan Bernama.
Jalan-jalan susur yang terlibat adalah Lebuhraya Persekutuan KM9 – KM19.3 dari Shah Alam/Klang ke Petaling Jaya/Kuala Lumpur, Lebuhraya Persekutuan KM19.3 – KM19 dari Petaling Jaya/Kuala Lumpur ke Shah Alam/Klang.
Turut terlibat susur masuk dari Shah Alam/Klang ke Jalan Lapangan Terbang Subang dan susur dari Jalan Lapangan Terbang Subang ke Shah Alam/Klang.
Walau bagaimana pun, bagi kelancaran laluan trafik dan keselamatan pengguna, pihak polis akan mengawal laluan tersebut.
Satu lorong (mulai menara jam dari Kuala Lumpur dan susur keluar dari Subang Jaya) akan ditutup menggunakan kon-kon keselamatan agar pengguna bersedia memperlahankan kenderaan semasa mendekati kawasan naik taraf ini.