Galeri : Kia Cerato Koup 1.6 T-GDI mempertaruhkan imej sporty & ranggi
Semalam Kia Cerato Koup telah tampil buat pertama kalinya untuk tatapan warga Malaysia dengan kemunculannya di siri jelajah Kia On Tour di pusat membeli-belah One Utama.
Menampilkan imej yang lebih sporty, Cerato Koup ini diilhamkan daripada model popular Cerato sedan dan juga Forte Koup. Ia dijadualkan bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan harga anggaran RM150,000 iaitu lebih RM30,000 berbanding model sedan 2.0.
Ia dijanakan oleh enjin 1.6 liter Gamma T-GDI (Turbocharged Gasoline Direct Injection) yang mampu memberikan kuasa sehingga 161 PS dan tork setinggi 194 Nm. Ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan, Cerato Koup ini mampu dipacu daripada 0-100 km/j dalam hanya 7.4 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum sehingga 222 km/j. Kia mendakwa Cerato Koup ini mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 7.4 liter bagi setiap 100 km.
Tampil dengan imej yang lebih berbeza berbanding model sedan, Cerato Koup ini lebih bergaya dengan gril atas yang lebih nipis, gril bawah yang lebih besar dengan kekemasan gentian karbon tiruan, lampu kabus bulat besar, cermin sisi dan pemegang pintu berwarna hitam berkilat, lampu belakang yang lebih bersudut dan paip ekzos berkembar.
Pintunya juga lebih panjang bagi memudahkan penumpang masuk-keluar dan tali pinggang keselamatan hadapan yang boleh dipanjangkan.
Elemen standard yang turut ditampilkan termasuklah lampu utama xenon yang boleh dilaras sendiri dengan lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, rim aloi bersaiz 18-inci, kemasukan tanpa kunci, butang penghidup enjin, kamera undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, zon-berkembar kawalan suhu automatik dengan kluster ioniser, kluster LCD Supervision 4.2 inci, tempat duduk balutan kulit dengan fungsi pemanasan (untuk tempat duduk hadapan) dan bumbung matahari.
Manakala kit keselamatan yang ditampilkan ialah enam beg udara, ABS dengan EBD dan bantuan brek, kawalan kestabilan, bantuan mula mendaki dan Isofix, semuanya sama seperti model sedan.