Tol elektronik di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) mulai 1 Jun ini – Tawar 20% rebat tol hingga 30 Sept
Mulai 1 Jun 2015, pengguna lebuhraya PLUS akan menikmati rebat tol sebanyak 20% apabila menggunakan bayaran secara elektronik di Plaza Tol Mambau dan Lukut di Seremban-Port Dickson Highway (SPDH), untuk pengguna Kenderaan Kelas 1 sahaja.
Sebagai salah satu inisiatif untuk membantu pengguna lebuh raya menikmati perjalanan yang lebih lancar di kedua-dua plaza tol di SPDH, PLUS akan melaksanakan sistem kutipan tol secara elektronik sepenuhnya dengan menggunakan kad PLUSMiles, Touch ‘n Go atau SmartTAG.
Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Mohammad Fuad Khusairi berkata, “Langkah ini merupakan salah satu daripada langkah syarikat ini menggalakkan penggunaan sistem tol elektronik yang lebih mudah, pantas dan lebih selesa.”
Sementara itu, orang ramai yang membayar tol secara elektronik di Plaza Tol Mambau dan Lukut boleh menikmati penjimatan bayaran tol melebihi RM48.00 setiap bulan bermula 1 Jun hingga 30 September akan datang.
Penjimatan tersebut diperolehi melalui tawaran rebat tol sebanyak 20 peratus yang diberikan oleh PLUS untuk pengguna Kenderaan Kelas 1 yang membayar tol menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG di kedua-dua plaza tol tersebut.
Pengiraan tersebut adalah berdasarkan purata 30 hari setiap bulan dan tawaran rebat tol sebanyak 20 peratus untuk pembayaran secara elektronik yang ditawarkan oleh PLUS.
Sebelum ini, PLUS telah berjaya melaksanakan sistem tol elektronik sepenuhnya di Plaza Tol Perling di Lebuh raya Linkedua dan Plaza Tol Kempas di Lebuhraya Utara-Selatan di Johor pada Januari 2014 lalu dan Plaza Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 (FHR2) pada November tahun yang sama.