Perodua sasar jualan sehingga 1 juta unit Myvi menjelang akhir 2017
Dengan penuh optimistik, Perodua menyasarkan mampu mencapai jualan sehingga satu juta unit bagi model Myvi menjelang akhir 2017. Sasaran ini berdasarkan kejayaan Perodua yang telah menjual 850,000 unit Myvi sehingga akhir April 2015 dan permintaannya semakin meningkat berserta dengan pelbagai promosi lain.
“Myvi yang meraikan ulang tahun ke-10 pada tahun ini, ternyata begitu mendapat tempat di pasaran. Setakat ini, secara puratanya, tempahan Myvi mampu mencecah 8,000 unit sebulan,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh dalam sidang media yang berlangsung di Pulau Langkawi pagi ini sempena Media Icon Drive 2015 iaitu penjelajahan Myvi bersama pihak Media dari Pulau Pinang ke Langkawi bagi meraikan ulang tahun ke-10 model ikonik ini.
Sambungnya lagi, “Jika tiada sebarang masalah, kami berasa yakin bahawa dengan aktiviti dan promosi yang telah direncana sehingga 2017, sasaran satu juta kereta Myvi boleh dicapai.”
Bagi meraikan ulang tahun ke-10 model ikonik ini, Perodua bakal menganjurkan ‘Myvi Nation’ 23 dan 24 Mei ini. Malah Perodua turut mengajak kesemua pemilik Myvi untuk berhimpun bersama di lokasi penganjuran iaitu di kawasan lapang bersebelahan Setia City Mall, Shah Alam.
Dengan bayaran sebanyak RM50 bagi pendaftaran yang dibuka mulai 21 April hingga 10 Mei lalu, turut membolehkan mereka berpeluang memenangi sebuah Myvi edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10, selain mendapat pek hadiah eksklusif bernilai lebih RM400.
Setakat ini, seramai 3,000 pemilik Myvi telah mendaftar menerusi laman web Perodua dan banyak aktiviti menarik akan dijalankan termasuklah konsert artis terkenal, pawagam di arena terbuka, peluang menaiki belon panas, kempen keselamatan jalan raya oleh JKJR dan sebagainya.
Bagi meraikan ulang tahun ini juga, Perodua telah memproduksi 10 unit Myvi edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10 iaitu edisi khas untuk dijual pada umum dan ia akan dilancarkan pada petang 23 Mei ini di lokasi berkenaan. Perincian mengenai model edisi khas ini akan dihuraikan pada petang tersebut.
Malah Perodua turut akan meraikan ulang tahun ini di 183 pusat jualan dan 183 pusat servis Perodua di seluruh negara termasuk menganjurkan pelbagai aktiviti menarik yang boleh disertai oleh para pemilik Myvi.
Bukan itu sahaja, Perodua juga akan menganjurkan satu pertandingan foto dengan tema “Pamerkan kasih sayang anda” mulai 23 Mei ini di kesemua pusat jualan dan servis Perodua. Di mana banyak hadiah menarik menanti pemenang bertuah termasuklah satu unit Myvi edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10, 10 unit GoPro Hero 4 dan baucer Perodua.
“Untuk menyertainya, peserta haruslah mendaftar kenderaan baharu Perodua atau servis kenderaan Perodua yang dimiliki dengan resit minimum RM180,” ujar Aminar lagi.
Berkenaan dengan prestasi jualan, Perodua telah berjaya menjual 74,7000 kenderaannya iaitu mewakili 34.8% daripada 218,600 jumlah keseluruhan industri (TIV) pada empat bulan pertama tahun ini. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 25,500 unit adalah Myvi.