Perodua bakal produksi model sedan tidak lama lagi
Pada Kuala Lumpur International Motor Show 2013 (KLIMS) lalu, Perodua telah mempamerkan kereta konsep ini digelar Global Model Sedan (GMS) Buddyz yang menyasarkan pengguna daripada Generasi Y dan Z. Perodua juga berpendapat, Buddyz merupakan kombinasi yang cukup sempurna di antara trend automotif tempatan dan antarabangsa.
Sejak itu, terdapat pelbagai ura-ura mengenai model sedan ini. Namun pagi ini, sempena dengan sidang media ulang tahun ke-10 model Myvi, Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh, telah mengesahkan mengenai perkara ini.
“Sebelum ini Perodua telah meminta Daihatsu untuk memberikan ruang dan peluang pada kami bagi menghasilkan model sedan. Dan ia telah pun diluluskan serta dalam proses untuk pembikinannya. Jadi sekarang ini pihak kami dalam proses menguji model prototaip. Malah kami juga telah mengenal pasti platform, enjin dan transmisi yang bakal digunakan. Malah rekaan bagi kerangkanya juga adalah dari Perodua sendiri,” ujar Aminar.
Sambungnya lagi, “Daripada aspek keselamatan, kami juga mensasarkan penarafan lima bintang dari NCAP. Walau bagaimana pun, ia tidak akan diperkenalkan pada tahun ini. Mungkin juga akan dilancarkan pada tahun hadapan atau tahun seterusnya, tetapi juga bukan pada tahun 2019 atau 2020,” ujar Aminar.
Adakah sedan ini merupakan model konsep Buddys yang diproduksi? Apa pun kenalah tunggu seawal-awalnya tahun hadapan (atau paling lewat 2018) untuk model dengan kod nama D63D ini muncul di pasaran. Apa pun Infokereta.com akan membawakan perkembangan selanjutnya jika ada.