Ford Ranger 2015 menanti detik pelancaran
Ford Malaysia semakin memberikan debaran kepada para peminat automotif tempatan dengan mula memberikan teaser pengenalan mengenai Ranger 2015 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Setelah menampilkan kemunculan perdananya di Bangkok pada Mac lalu, bagi spesifikasi untuk pasaran Malaysia, tiga unit bakal ditawarkan iaitu enjin 3.2 liter Duratorq lima-silinder (197 hp/470 Nm), 2.2 liter Duratorq (158 hp/385 Nm) dan terbaharu 2.2 liter dengan kuasa 129 hp.
Daripada sudut mekanikal pula, Ranger baharu ini turut diberi penambah baikan penjana kuasa dengan teknologi Start-Stop. Ford juga memberikan jaminan, Ranger ini lebih senyap dan penggunaan bahan apinya lebih efisien sebanyak 22%. Ia juga didatangkan dengan stereng berkuasa elektrik yang baharu. Malah Ford telah menala semula sistem suspensinya untuk pengendalian yang lebih selesa.
Walau bagaimana pun, Ford Malaysia masih enggan mendedahkan perincian lebih lanjut mengenai Ranger 2015 unit import sepenuhnya (CBU) yang diproduksi di kilang AAT, Rayong, Thailand ini. Jadi kena tunggu sahaja detik pelancarannya tidak lama lagi.