Perodua Mvyi catat rekod perhimpunan kereta terbesar di Malaysia sempena ulang tahun ke-10
Sempena dengan meraikan ulang tahun ke-10 Myvi, Perodua yang menganjurkan ‘Myvi Nation’ di Setia Alam pada hujung minggu lalu turut menghimpunkan para pemilik model ini dalam satu acara khas.
Seramai 2,613 pemilik Myvi telah mengambil bahagian dalam acara ini, secara tidak langsung mencatatkan rekod baharu di dalam Malaysian Book of Records sebagai perhimpunan kereta terbesar di Malaysia.
Pengumuman rasmi bagi rekod baharu di dalam Malaysian Book of Records ini dilaksanakan oleh wakilnya, Siva Sorianarayanan dengan disaksikan oleh YB Dato’ Ikmal Hisham Abdul Aziz, Ahli Parlimen Tanah Merah.
“Kami berasa sangat gembira meraikan pencapaian yang amat penting ini bersama pelanggan setia kami. Malah kami telah menghadiahkan sebuah Myvi Edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10 untuk peserta bertuah sebagai tanda penghargaan,” ujar Presiden & CEO Perodua Datu Aminar Rashid Salleh.
Dalam acara tersebut juga, Datuk Aminar turut mencabut nama peserta bertuah iaitu Syed Mohamad Izzuddin Syed Ahmad Termizi yang berjaya membawa pulang sebuah Myvi Edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10.
“Kami turut memperkenalkan pakej aksesori GearUp bagi Myvi yang ditawarkan kepada para pelanggan dengan harga antara RM2,900 hingga RM3,3000 bergantung pada spesifikasi. Bagi yang berminat untuk mendapatkannya, silalah berkunjung di mana-mana pusat jualan dan servis Perodua yang berhampiran,” ujar Aminar lagi.
Bukan itu sahaja, Perodua juga menganjurkan satu pertandingan foto dengan tema “Pamerkan kasih sayang anda” mulai 23 Mei di kesemua pusat jualan dan servis Perodua. Di mana banyak hadiah menarik menanti pemenang bertuah termasuklah satu unit Myvi edisi Komemoratif Ulang Tahun Ke-10, 10 unit GoPro Hero 4 dan baucer Perodua.