Waktu operasi VEP berakhir lebih awal sepanjang cuti sekolah Jun ini
Lembaga Pengangkutan Darat Singapura (LTA) telah mengumumkan bahawa, waktu operasi Permit Masuk Kenderaan (VEP) akan berakhir lebih awal pada 12 tengah hari dari Isnin hingga Jumaat, sepanjang cuti sekolah ini iaitu mulai 30 Mei hingga 28 Jun 2015.
Menurut laporan Bernama, LTA berkata, pemandu kereta dan penunggang motosikal negara asing tidak perlu membayar sebarang caj VEP untuk hari berkenaan jika memasuki Singapura selepas 12 tengah hari dan meninggalkan republik itu menjelang 2 pagi hari berikut dari Isnin hingga Jumaat dalam tempoh ini.
Malah bayaran VEP juga tidak dikenakan pada Sabtu, Ahad dan cuti umum Singapura.
Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif yang dilaksanakan sekarang untuk menarik pelancong asing ke Singapura terutama semasa cuti persekolahan di republik ini.
Untuk hari-hari biasa bukan semasa cuti persekolahan pada Jun dan Disember di Singapura, bayaran VEP dikenakan dari 2 pagi hingga 5 petang setiap hari, kecuali pada Sabtu, Ahad dan cuti umum Singapura.
Dalam tempoh ini, bayaran VEP tidak dikenakan jika kenderaan memasuki Singapura selepas jam 5 petang pada hari bekerja dan meninggalkan republik ini sebelum 2 pagi pada hari berikut.
Di samping itu, di bawah skim percuma VEP selama sepuluh hari, pemandu kenderaan dan penunggang motosikal yang didaftarkan di negara asing boleh memandu memasuki Singapura untuk maksimum 10 hari bekerja setahun tanpa perlu membayar VEP.
Sumber foto : http://en.m.wikipedia.org/wiki/File:Linkedua-Expressway.JPG