Tol Mambau & Lukut beroperasi secara elektronik mulai 1 Jun
PLUS Malaysia Berhad, dalam satu kenyataannya menyebut, transaksi tol di plaza Mambau dan Lukut di Lebuhraya Seremban-Port Dickson akan beroperasi secara elektronik sepenuhnya mulai tengah hari 1 Jun ini, laporan Bernama.
Menurut Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah Abdul Hamid, kesemua bayaran di kedua-dua plaza tol itu akan menggunakan kad PLUSMile, Touch and Go atau SmartTAG.
Di mana pengguna jalan raya boleh juga membeli kad prabayar RM5 PLUSMile dan Touch and Go dengan harga promosi di laluan tol dan alat SmartTAG dengan harga RM96 di Pusat Khidmat Pelanggan di plaza tol Seremban dan Senawang.
Secara umum, kedua-dua laluan elektronik tersebut boleh menampung 1,000 dan 550 transaksi dalam tempoh sejam sementara laluan tunai hanya mampu menampung 220 transaksi dalam tempoh itu.