AES berjaya kurangkan kemalangan maut – Liow
Dalam persidangan Dewan Rakyat semalam, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) berjaya mengurangkan kemalangan maut dan meningkatkan kadar pematuhan peraturan jalan raya.
Kenyataan ini bagi jawapan kepada Dr Azman Ismail (PKR-Kuala Kedah) yang meminta kementerian menyatakan jumlah denda yang dikutip melalui sistem AES setakat ini dan keberkesanannya mengurangkan kemalangan jalan raya, laporan Bernama.
Menurut Liow, “AES telah berjaya mengurangkan sebanyak tujuh kemalangan maut atau 36.84 peratus bagi tempoh lapan bulan sahaja. Selain itu, kajian MIROS menunjukkan sebelum pelaksanaan sistem itu, secara purata kadar pematuhan had laju pada hari bekerja di enam lokasi kamera tetap AES adalah kira-kira 63 peratus berbanding 91 peratus selepas pelaksanaannya”.
Sambungnya lagi, “Bagi empat kamera tetap AES di kawasan persimpangan lampu isyarat pula, kadar ketidakpatuhan lampu isyarat adalah 4.3 peratus sebelum pelaksanaan AES dan menurun kepada 2.2 peratus selepas pelaksanaannya.”
Liow berkata mengambil kira senario tersebut, kerajaan yakin sekiranya AES dilaksanakan di seluruh negara, kadar pematuhan terhadap peraturan lalu lintas akan meningkat sekaligus bilangan kemalangan maut akan menurun secara drastik.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 264,750 saman AES telah dibayar, melibatkan jumlah RM76,647,750 sehingga 30 April tahun ini.
Pada 26 Mei lalu, media tempatan melaporkan fasa kedua AES akan mula diimplementasikan di 262 lokasi seluruh negara menjelang hujung tahun ini.Ia adalah sebagai langkah keselamatan di persimpangan lampu isyarat sejak rekod telah menunjukkan bahawa perlanggaran dan kematian telah meningkat disebabkan oleh penunggang dan pemandu melanggar lampu merah.
Bagi fasa kedua ini, ia mensasarkan 38 lokasi di Selangor, diikuti 32 persimpangan di Johor, Kedah (26 lokasi), Perak (22), Terengganu (20), Negeri Sembilan dan Pulang Pinang (masing-masing 18 lokasi), Kelantan (16) dan 72 lokasi di Kuala Lumpur, Labuan, Perlis, Sabah, Sarawak, Pahang, Melaka serta Putrajaya.