BMW memperkenalkan waranti baharu lima tahun tanpa perbatuan terhad & program servis berjadual percuma
BMW Group Malaysia telah memperkenalkan waranti baharu lima tahun tanpa perbatuan terhad dengan program servis berjadual percuma untuk semua model BMW termasuk BMW i8 yang didaftarkan mulai 1 Jun 2015.
Pengarah Urusan dan CEO BMW Group Malaysia, Alan Harris, berkata, “Di BMW, kami sentiasa mahukan yang terbaik demi kepuasan para pelanggan. Tawaran ini adalah sebagai menghargai para pengguna dan membolehkan mereka mendapat perkhidmatan yang terbaik dari kami”.
Program waranti ini menawarkan liputan lanjutan dari tahun pemilikan ketiga dan seterusnya, di mana jaminan pengeluar akan ditawarkan sehingga tahun kelima dengan perbatuan tanpa had. Lanjutan daripada itu, program ini juga termasuk perkhidmatan dan penyelenggaraan berjadual percuma sehingga 100,000 km.
Program ini termasuklah memeriksa enjin kenderaan, servis minyak enjin dan penapis minyak serta kuantiti isi semula. Manakala komponen yang terbabit dengan program baharu ini termausklah penapis udara, penapis minyak, penapis mikro, palam pencucuh dan cecair brek. Manakala komponen seperti brek hadapan dan belakang termasuk cakera dan pad, bilah pengilap cermin tidak termasuk dengan program servis dan waranti ini.
Pemilik BMW yang layak untuk program waranti ini akan disyorkan oleh pengeluar melalui mana-mana pengedar BMW yang bertauliah di seluruh negara. Sekiranya ia melibatkan mana-mana bengkel yang tidak diiktiraf atau penggunaan alat ganti yang tidak asli, BMW berhak untuk menolak mana-mana tuntutan.
Selain itu, apa-apa kerosakan dalaman atau luaran yang disebabkan oleh penggunaan komponen yang tidak diiktoraf termasuk mentol halogen dan bateri kunci, tidak akan dilindungi di bawah program waranti ini.
Untuk maklumat lanjut, bolehlah menghubungi BMW Voice di talian 1800-88-3000 atau layari www.bmw.com.my.