Isuzu MU-X telah dilancarkan – Varian 4×2 & 4×4 harga antara RM148k-RM160k
Malam ini berlangsungnya majlis pelancaran Isuzu MU-X di Sympony Lake Suite, KLCC.
Digambarkan sebagai kenderaan pelbagai guna yang menepati gaya hidup sebenar, MU-X yang hadir dengan dua varian iaitu 4×2 dan 4×4 ini tampil dengan kekemasan gaya, keselesaan, ruang yang optimum, prestasi atau penjimatan bahan api.
Bagi tahun ini, Isuzu Malaysia mensasarkan jualan sebanyak 700 unit MU-X serta yakin bakal menerima sambutan yang menggalakkan terutamanya dari kalangan pembeli di kawasan bandar yang mengagumi reka bentuk menarik dna fungsi serba bolehnya.
CEO Isuzu Malaysia, Kenji Matsuoka berkata, “Permintaan terhadap kenderaan sebegini memang sudah ada. Malah kemunculan MU-X dengan pelbagai ciri hebat dan pakej penuh gaya ini mampu menarik perhatian ramai. Kami yakin dapat menjual MU-X ini sebanyak 1,000 unit sebelum akhir tahun, sekali gus membolehkan Isuzu menguasai 30% pasaran dalam segmennya”.
Dilihat dari mana-mana sudut pun, Isuzu MU-X memberikan keyakinan menerusi rekaan yang seimbang dan penampilannya yang kemas. Garis rekaannya dilihat bergerak dengan lancar dari bahagian hadapan ke belakang dalam bentuk baji. Sekali gus memberikan satu penampilan unik dan visual yang harmoni kepada sesiapa sahaja yang memandangnya.
Di bahagian hadapan, kluster lampu utama fokus kepada aliran garisnya yang tersendiri, sekali gus memberikan MU-X serba baharu penampilan yang lebih menonjol. Kluster itu terdiri daripada unit lampu utama jenis projektor dan unit lampu tinggi yang diasingkan. Sementara lampu nyalaan siang LED yang hadir sebagai ciri standard untuk varian 4×4 diletakkan di dalam perumah lampu kabus.
Dari arah sisi pula, pintunya menampilkan garis Katana D-MAX. Namun, MU-X menerima garis karekter yang lebih ketara dan dengan bentuknya yang lebih berkotak-kotak. Sudut-sudut itu memberikan MU-X penampilan yang lebih tersendiri dan bergaya, selain padan dengan saiznya yang besar dan lengkap bersama kaca pada bahagian belakang yang menawarkan pandangan lebih baik.
Bagi penggayaan yang lebih menarik, MU-X ini turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 17-inci untuk varian 4×4 dan 16-inci bagi varian 4×2.
Manakala bagi pintu-pintunya terutama pintu belakang lebih besar dengan bukaan yang lebih luas. Ia nyata memudahkan urusan keluar masuk ke tempat duduk baris ketiga atau untuk mengangkut barang-barang yang besar seperti tempat duduk kanak-kanak atau buaian sebelum dipasang pada cagak ISOFIX yang ada pada tempat duduk baris kedua.
Pakej keseluruhan reka bentuk SUV ini juga nampak mengagumkan dengan garis bumbung bersama roof rail yang menawarkan impresi lancar apabila MU-X meredah angin dengan mudah.
Di bahagian belakang, bukaan pintu belakang yang tinggi dan luas memberikan akses maksimum ke kawasan kargo. Pintu belakang boleh dibuka dengan menekan butang elektronik yang tersebunyi di bahagian dalam selak. Satu slip spoiler yang kecil pada bahagian atas cermin belakang jentera 4×4 ini berfungsi menghasilkan pusaran angin untuk mengurangkan kotoran daripada mudah melekat pada skrin.
Lampu belakang yang memanjang hingga ke bahagian sisi memberikan amaran visual yang jelas kepada kenderaan di belakang dan tepi. Jadi pengguna jalan raya yang lain dapat melihat lampu isyarat membelok dengan lebih jelas.
Menjengah bahagian kabinnya, tempat duduk balutan kulit berwarna Anthracite itu memberikan sentuhan mewah kepada ruang dalaman kenderaan ini. Tempat duduk pemandu turut didatangkan dengan talaan elektrik untuk mendapatkan posisi pemanduan yang betul. MU-X ini mampu memuatkan kapasiti tujuh-tempat duduk dan tempat duduk baris kedua mempunyai konfigurasi 60:40.
Sistem audio infotaimen Isuzu yang hadir bersama ketersambungan Bluetooth, ciri Mirror Link untuk telefon pintar, wifi untuk melayari Internet, navigasi GPS, kamera undur, serta monitor DVD baris kedua yang boleh dilipat menambahkan kepuasan dalam hiburan. Monitor itu boleh digunakan untuk memainkan filem, pada masa yang sama unit utama terus memaparkan arahan navigasi.
Mengunakan rekaan universal Isuzu, kebanyakan butang atau dial kawalan mudah dicapai. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa mempunyai ciri kawalan suhu automatik pada model 4×4. Ia dapat diaktifkan dengan hanya memusing satu tombol besar untuk menetapkan suhu yang diingini.
Corong pendingin hawa untuk penumpang tempat duduk kedua dan ketiga dipasang pada bahagian siling bagi memastikan penyejukan kabin yang lebih pantas serta efisien. Pastinya ia amat berguna dalam cuaca tropika yang panas.
Intrumentasinya jelas dan mudah difahami. Menggunakan paparan pendarkilau-elektro yang mampu mengubah suai kepadatan cahaya secara automatik berdasarkan kepada kondisi cahaya sekeliling, kluster meter juga direka agar tidak berselerak untuk memudahkan bacaan. Dial takometer dan meter kelajuan disalut dengan warna krom yang elegan. Sementara paparan multi maklumat diletakkan di tengah-tengah. Ia menawarkan segala maklumat pemanduan yang relevan dan diperlukan oleh pemandu melalui beberapa paparan skrin.
Kawalan jelajah hadir sebagai satu ciri standard untuk model 4×4. Suisnya diletakkan pada bahagian kanan stereng, manakala suis untuk kawalan audio berada di sebelah kiri.
Untuk menukar pacuan 4WD dengan pantas berdasarkan kepada permukaan jalan, dial Terrain Command diletakkan di bahagian tengah perumah gear. Tombol ini membolehkan pemandu menilai jumlah cengkaman yang diperlukan sebelum memilih mode pemanduan yang paling sesuai. Dengan Terrain Command, pemandu boleh menukar mod pacuan di antara 2H dan 4H pada kelajuan mencecah 100km/j. Kenderaan hanya perlu diberhentikan jika ingin masuk atau menyahaktifkan mode pacuan 4L.
Isuzu MU-X serba baharu dibangunkan di atas konsep I-Grip atau Isuzu Gravity Response Intelligent Platform. Ideanya adalah untuk merendahkan titik graviti kenderaan dan melebarkan kedudukannya.
Ia juga menerima talaan suspensi jenis pegas gegelung pada keempat-empat rodanya bersama double wishbone (pada roda hadapan). Sementara roda belakang pula menggunakan khidmat suspensi jenis five-link active. Hasilnya, ia mampu meningkatkan keselesaan, dapat mengambil selekoh dengan lebih yakin dan menambah baik kestabilan, walaupun ketika melalui permukaan jalan yang beralun-alun.
Penggunaan sistem elektronik digital dilihat meningkatkan lagi kestabilannya. Ciri-ciri seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) menggunakan alat pengesan pada roda serta pendikit untuk mengawal penghantaran kuasa kepada roda dengan lebih tepat. Lain-lain elemen keselamatan standard termasuklah ABS bersama EBD dan Bantuan Brek (BA), dua beg udara SRS di bahagian hadapan dan kombinasi tali pinggang keledar 3 poin ELR untuk penumpang.
Kerangka kenderaan ini juga telah diperkukuhkan dengan keluli regangan tinggi. Tiang B dan bahagian tengah transmisi Tailor Blank telah dipateri agar lebih kukuh. Manakala pintu-pintunya dipasang dengan bar keluli binaan dalam sebagai perlindungan tambahan jika berlaku pelanggaran dari arah sisi.
Dipacu oleh enjin diesel commonrail 2.5 liter 4JK1-TCX empat silinder yang tidak pernah mengecewakan, Isuzu MU-X menawarkan fleksibiliti untuk pemanduan di bandar dan kekal berkuasa dan efisien di jalan yang terbuka. Menampilkan sistem turbo geometri boleh ubah (VGS), enjin itu mampu menghasilkan kuasa mencecah 136 PS dan tork 320Nm pada rpm serendah 1,800rpm. Justeru, enjin itu mampu menawarkan Isuzu MU-X kuasa tarikan yang mencukupi untuk laluan biasa dan off-road.
Kuasa itu disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lima kelajuan dengan penukaran gear secara berurutan.
Varian 4×4 pula dipasang dengan kotak agihan kuasa yang digerakkan secara elektronik. Ia berfungsi menyalurkan kuasa ke roda hadapan untuk mendapatkan cengkaman yang lebih baik. Kotak gear ini juga memiliki alat pengesan logik gred adaptif yang dapat mengesan ketika kenderaan menuruni bukit. Maka ia akan menurunkan kedudukan gear untuk menawarkan kuasa membrek enjin yang lebih kuat, sekali gus menjimatkan penggunaan bahan api dan mengurangkan kehausan brek.
Pasukan jurutera Isuzu berjaya meminimumkan getaran dan bunyi bising daripada masuk ke dalam kabin demi memberi lebih keselesaan kepada penumpang. Ketika bergerak pada kelajuan sekata, sukar untuk mendengar bunyi enjin diesel di dalam bonet.
Menawarkan empat pilihan warna iaitu Cosmic Black, Titanium Silver, Splash White dan Uluru Brown. Bagi varian MU-X 2.5L 4×2, ia berharga RM147,543.40 dan untuk MU-X 2.5L 4×4 pula ialah RM160,210.40. Ia merupakan harga atas jalan berserta GST dan tanpa insurans. Setiap pembelian model ini turut didatangkan dengan waranti selama lima tahun/100,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu).
Sila KLIK DI SINI untuk membaca ulasan pandu uji Isuzu MU-X ini.