Maxus G10 – MPV 11-tempat duduk dengan harga jangkaan RM120k
Satu lagi pilihan MPV yang bakal diperkenalkan di pasaran tempatan, Maxus G10 buatan Weststar, ini mungkin kurang familiar namanya di Malaysia. Namun ia dijangka bakal dilancarkan tidak lama lagi dengan harga anggaran lebih kurang RM120,000 seunit, secara tidak langsung memberikan cabaran buat model pesaing terdekatnya iaitu Hyundai Grand Starex.
Diperbuat di negara kelahirannya, China, hanya satu varian sahaja yang akan ditampilkan dan MPV ini mampu memuatkan kapasiti 11-tempat duduk (konfigurasi 10-tempat duduk seperti mana dalam foto). Ia turut menampilkan dua pintu gelungsur di kedua belah sisi dan rim aloi bersaiz 16-inci yang membaluti tayar 215/65.
G10 berukuran 5,168 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,928 mm tinggi dan 3,210mm jarak roda.
Ia dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo GDI dengan kuasa 225 hp dan tork 345 Nm. Turut dipadankan dengan transmisi automatik ZF enam-kelajuan bersama mod manual. G10 mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 km/j.
Bagi pasaran Malaysia, standard elemen yang ditampilkan termasuklah zon-berkembar kawalan suhu automatik, penghawa dingin belakang, kemasukan tanpa kunci bersama butang penghidup enjin, kawalan kelajuan, lampu utama HID Xenon, lampu belakang LED, bumbung panoramik dan pemain DVD dengan paparan bersaiz tujuh-inci serta sistem audio bersama enam pembesar suara.
Selai itu, ia turut ditampilkan dengan tempat duduk balutan kulit, pengesan parkir, lampu kabus hadapan/belakang, kamera undur dan kit keselamatan termasuk dua beg udara, ABD dengan EBD.