BMW X1 2016 lebih mantap
BMW secara rasminya telah memperkenalkan model crossover X1 2016 yang tampil lebih mantap dan bergaya.
Karakternya cukup terserlah menerusi imej yang diperagakan termasuk pada bampar hadapan yang sporty, gril yang mantap disambung pada lampu utama LED. X1 2016 ini juga menampilkan bumbung yang lebih landai dan spoiler belakang yang menyerlahkan lagi gayanya.
Bagi yang berkenan, turut boleh menempah pakej Sport Line, xLine dan M Sport. Antaranya menampilkan kit badan yang lebih aerodinamik dan rim aloi bersaiz 18-inci. Pakej ini turut menampilkan tempat duduk sport Alcantara, kekemasan aluminium haksagon dan jaluran biru.
Selain itu, ia turut menampilkan sistem hiburan iDrive dengan paparan bersaiz 6.5 inci dan kekemasan kayuan Oak Grain.
Bagi aspek keselamatan, ia turut didatangkan dengan pakej Bantuan Pemanduan Tambahan termasuk Kawalan Kelajuan Aktif, Amaran Penukaran Laluan, Bantuan Kesesakan Lalu Lintas, Amaran Pejalan Kaki dan sebagainya.
BMW X1 2016 ini menampilkan lima pilihan enjin termasuklah :
-2.0 liter empat-silinder diesel (150 PS/330 Nm)
-2.0 liter empat-silinder diesel (190 PS/440 Nm)
-2.0 liter empat-silinder diesel (231 PS/450 Nm)
-2.0 liter empat-silinder petrol (192 PS/280 Nm)
-2.0 liter empat-silinder petrol (231 PS/350 Nm)
Malah ia juga didatangkan dengan dua varian sederhana iaitu 1.5 liter tiga-silinder dengan X1 sDrive16d (116 PS) dan X1 sDrive18i (136 PS).
Bergantung pada pemilihan enjin, ia boleh dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau Steptronic baharu lapan-kelajuan.
BMW X1 2016 ini bakal menembusi pasaran Jerman pada Oktober ini dan USA pula dijadualkan pada musim luruh akan datang.