Isuzu D-Max V-Cross 2015 dengan elemen baharu bakal diperkenalkan
Ketika majlis pelancaran Isuzu MU-X yang berlangsung malam tadi, Isuzu Malaysia turut mempamerkan versi terkini bagi Isuzu D-Max V-Cross 3.0L. Menurut sumber, kemungkinan besar varian ini akan diperkenalkan pada bulan hadapan.
Tampil lebih sporty dan menarik, ia menerima empat elemen baharu iaitu bampar hadapan baharu yang lebih agresif, rim aloi enam-jejari bersaiz 17-inci dengan kekemasan lebih berkilat, pemijak tepi yang lebih elegan dan praktikal serta composite roll bar.
D-Max yang dipamerkan ini juga tampil dengan warna baharu iaitu biru gelap (seperti Nautilus Blue, warna yang terdapat di sesetengah pasaran).
Daripada sudut mekanikalnya, mungkin tiada perubahan dan masih mengekalkan penjana kuasa yang sama iaitu 3.0 liter 4JJ1-TCX VGS empat-silinder turbodiesel yang mampu menghasilkan 177 PS pada 3,600 rpm dan tork 380 Nm antara 1,800 dan 2,800 rpm. Malah transmisinya juga dikekalkan iaitu automatik lima-kelajuan dengan mod manual atau manual lima-kelajuan. Pacuan empat-roda adalah standard bagi semua model V-Cross.