Suzuki Swift baharu bakal dilancarkan pada 16 Jun ini
Walau pun Suzuki Swift versi facelift telah pun diperkenalkan di peringkat global hampir dua tahun yang lalu, namun baru kini ia bersedia dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Dijangka akan dilancarkan pada 16 Jun ini, hatchback dari segmen-B ini telah pun dipromosikan menerusi laman klasified oto.my.
Dengan memaparkan harga jangkaan iaitu RM63,388 bagi model asas 1.4 GL, sementara varian tertinggi iaitu GLX pula berharga RM73,388, ini bermakna ia ada penurunan harga berbanding model sebelumnya iaitu RM300 bagi GLX dan RM2,400 untuk GL.
Ada sedikit perubahan yang dilihat menerusi risalah spesifikasi yang dipaparkan itu iaitu GL akan menerima rim aloi bersaiz 16-inci (seperti model GLX yang terdahulu) dan unit kepala spesifikasi tinggi. Sementara itu, GLX pula kini dipadankan dengan rim aloi lima-jejari, lampu nyalaan siang LED dan sistem navigasi dengan skrin sesentuh.
Selain itu, bampar hadapannya juga telah direka semula, ditampilkan dengan lampu brek ketiga LED dan juga tempat duduk balutan fabrik yang berpaten.
Bagi sudut mekanikalnya, ia mungkin mengekalkan enjin 1.4 liter VVT empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 95 PS dan tork 130 Nm serta dipadankan dengan transmisi automatik empat-kelajuan.