Perodua tawar bantuan untuk para pelanggan yang terlibat dengan gempa bumi di Sabah
Kejadian gempa bumi di Ranau, Sabah, dengan kekuatan 6.0 pada skala Richter pada pagi Jumaat lalu mengundang banyak kemusnahan. Gegaran tersebut turut dirasai di kebanyakan tempat di Negeri Bawah Bayu itu.
Sehubungan itu, bagi mengurangkan bebanan yang dihadapi, Perodua telah menawarkan bantuan kepada para pelanggannya yang terjejas akibat gempa bumi tersebut dengan memberikan bantuan pemeriksaan keadaan Perodua secara percuma dan juga diskaun bagi khidmat tunda dan alat ganti terpilih.
“Kami berharap dan sentiasa berdoa agar rakyat Sabah yang terjejas dengan bencana ini supaya bersabar. Takziah buat keluarga mangsa-mangsa yang terkorban. Kami amat simpati dengan mangsa yang terlibat ini, justeru sumbangan yang ditawarkan ini adalah untuk mengurangkan bebanan mereka,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh.
Berkenaan dengan bantuan yang diberikan, Aminar turut berkata, Perodua akan membayar balik bayaran tundaan kenderaan terbabit sebanyak RM100 pada pusat servis Perodua yang bertauliah berhampiran untuk pemeriksaan dan pembaikian. Malah Perodua juga menawarkan diskaun sebanyak 20% untuk alat ganti terpilih untuk pemilik kenderaan Perodua yang rosak akibat gempa bumi ini, tertakluk pada terma dan syarat.
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi perkhidmatan Perodua di talian 800-88-5555.