Biodiesel B10 akan dilaksanakan mulai Oktober ini
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi menjangkakan program biodiesel B10 akan dilaksanakan di seluruh negara mulai Oktober tahun ini.
Menurut Menterinya, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, pelaksanaan itu akan meningkatkan penggunaan minyak sawit mentah tempatan sebanyak sejuta tan setahun selain menggantikan penggunaan biodiesel B7, laporan Bernama.
“Mesyuarat bersama pihak berkepentingan (peladang) akan dimuktamadkan menjelang akhir Jun ini. Kami akan meneliti dokumen berhubung pelaksanaannya dan seterusnya akan dikemukakan kepada Kabinet,” katanya.
B10 adalah adunan mengandungi nisbah 10 peratus biodiesel berasaskan minyak sawit dan 90 peratus diesel petroleum.
Malaysia yang juga negara penanam kedua terbesar minyak sawit dunia, pada masa ini melaksanakan program biodiesel B7 yang diperkenalkan pada akhir 2014.
Menurut Uggah, sejumlah 700,000 tan minyak sawit mentah digunakan dalam program biodiesel B7 berkenaan, setiap tahun.