Hyundai Tucson mencetuskan keseronokan pemanduan
Tertarik dengan ayat “Leading, not following” yang tertera pada brosur Hyundai Tucson yang telah menerima penambaikan yang dilancarkan pada KLIMS13 lalu, membuatkan Infokereta teruja untuk memandu ujinya. Lantas peluang yang dihulurkan oleh pihak Hyundai telah membawa Infokereta untuk melenjan SUV crossover ini membelah Lebuh raya Utara-Selatan menuju ke Pulau Pinang.
Dengan unit pandu uji berenjinkan NU 2.0 MPI varian Executive Plus, pemanduan ke Pulau Pinang lancar dan SUV ini mudah dikendalikan. Bersama enjin yang turut menampilkan pemasaan injap boleh laras berterusan berkembar (dual-CVVT) dan kerangka yang dibina daripada aluminium yang mengurangkan beratnya, ia turut membantu daripada segi penjimatan bahan api yang lebih efisien.
Mampu menghamburkan kuasa maksimum 158 PS pada tahap 6,200 rpm dan puncak tork 192 Nm pada 4,000rpm, ia turut dipadankan dengan kotak gear automatik enam kelajuan. Ketika gear ditukar secara automatik, ia terasa sedikit lembut dan memberikan keselesaan yang lebih optimum sewaktu pemanduan.
Pemanduan secara santai cukup lancar tetapi jika inginkan lebih kuasa pecutan, enjin Tucson terpaksa dikerah mengikut kesesuaian. Tapi jika setakat 150km/j, tidak ada masalah buat Tucson ini untuk dipacu kencang. Cuma penulis kurang selesa dengan sterengnya yang terasa sedikit ringan terutamanya jika jentera ini dipandu melebihi kelajuan 120km/j. Ia memerlukan genggaman yang lebih erat pada roda stereng.
Walau pun dipacu oleh pacuan dua roda hadapan, namun mengendalikan Tuscon ini turut mencetuskan keseronokan sewaktu pemanduan. Tetapi lebih santai dan relaks. Tucson juga tidak bermasalah untuk melalui jalan yang berbukit atau memotong kenderaan lain, kuasanya tetap terasa. Begitu juga ketika melalui jalan berliku, biar pun sterengnya terasa sedikit ringan, namun ia masih kekal stabil.
Sistem suspensi yang digunakan iaitu topang MacPherson di bahagian hadapan dan suspensi pelbagai sambungan (Multi-link type) untuk belakang membantu memberikan daya kawalan yang lebih responsif. Ketika melalui jalan yang beralun, kesan olengan agak kurang dirasai menjadikan perjalanan bertambah selesa.
Pendek kata, prestasi dan pengendalian Tucson boleh diletakkan pada tahap serba sederhana dan tidak banyak bezanya dengan model SUV lain yang menjadi pesaingnya.
Menyentuh aspek keselamatan pula, Tucson ini dipadankan dengan sistem Program Kestabilan Elektronik (ESP) dan Pengurusan Kestabilan Kenderaan (VSM) yang membantu memberikan keseimbangan dan kestabilan kenderaan. Bukan itu sahaja, Tucson turut dilengkapi dengan sistem Hill Assist Control dan Downhill Brake Control bagi memastikan ia bergerak dengan selamat sewaktu menaiki atau menuruni bukit. Selain daripada itu, enam beg udara, ISOFIX, EBD dan ABS juga diterapkan bagi menambahkan lagi aspek keselamatannya.
Tetapi daripada segi imej luaran dan dalaman, Tucson tampil dengan penampilan yang tersendiri serta mampu menarik perhatian. Perubahan kosmetik yang dialami oleh model facelift ini sedikit berbeza berbanding dengan model terdahulu. Reka bentuknya lebih kompak dengan ciri-ciri aerodinamik yang diterapkan pada model ini membuatkannya tampak elegan.
Pada bahagian hadapan, Tucson nampak sungguh menyerlah dengan kehadiran lampu hadapan projektor berserta LED terutamanya pada waktu malam, ia memberikan pantulan cahaya yang sangat efektif. Padanan gril radiator berbentuk hexagonal berwarna hitam juga memberikan imej sporty pada Tucson ini.
Menambahkan lagi seri pada bahagian bampar hadapannya dengan kehadiran lampu kabus yang sangat berfungsi ketika cuaca suram atau mendung.
Cermin sisinya pula dihiasi lampu LED yang mampu menambahkan lagi aspek keselamatan sebagai isyarat membelok. Rim aloi bersaiz 17 inci yang dibaluti dengan tayar 225/60R17 juga tampil sporty. Garisan lengkukan yang terdapat pada kedua-dua sisi menambahkan lagi ciri-ciri aerodinamik pada SUV crossover ini.
Menurut Hyundai, ciri aerodinamik merupakan ‘jantung’ bagi Tucson dan kehadiran spoiler belakang adalah sebahagian daripadanya. Lampu belakang yang membujur ke tepi seakan menguasai imej pada bahagian belakang Tucson ini.
Bagi varian 2.0 Executive Plus ini, ia turut tampil dengan bumbung panoramik yang boleh dibuka secara penuh.
Bukan sekadar mementingkan imej yang elegan dan sporty pada bahagian luaran, Hyundai turut menerapkan gaya sedemikian rupa di dalam kabin.
Hyundai mahu memberikan sepenuhnya keselesaan buat pemandu dan penumpang ketika berada di dalam kabin Tucson. Justeru, elemen yang diterapkan, kekemasan dan material yang digunakan sangat menepati standard masa kini. Malah, tidak dinafikan, ciri-ciri dalaman yang diterapkan bagi model Hyundai ini agak menyamai model-model kenderaan Eropah dan Jepun.
Pada papan pemuka, reka letak setiap butang kawalan dan elemennya disusun kemas serta memudahkan penggunaannya. Panel meter supervision cluster dengan LCD berwarna antara daya tarikan yang ada pada papan pemukanya. Trip computer pula memaparkan maklumat terkini mengenai keadaan SUV ini termasuklah catatan kelajuan, baki penggunaan bahan api dan jarak perjalanan.
Turut disertakan dengan skrin paparan LCD yang berfungsi sebagai navigasi video, paparan kamera undur dan infotaimen. Pada roda sterengnya juga dilengkapi dengan butang kawalan audio.
Lain-lain elemen yang ada pada varian ini ialah sistem audio enam pembesar suara bagi tujuan hiburan, butang penghidup enjin, sistem kunci pintar, sistem bantuan parkir dan pelarasan tempat duduk pemandu secara elektronik.
Mengenai ruang di dalam kabin pula, tidak dinafikan keluasannya memang optimum . Tempat duduk separa kulit juga menambahkan lagi keselesaan. Malah tempat duduk di bahagian penumpang belakang juga boleh dilipat bagi memberikan lebihan ruang untuk bahagian kargo.
Dengan harga RM145,888 seunit, model Tucson ini turut menampilkan lagi pilihan varian iaitu 2.0 Elegance (RM132,888) dan 2.4 Executive Plus (RM158,888). Didatangkan dengan lapan warna pilihan menarik iaitu Pure White, Titatnium Grey, Hyper Metalic, Colbalt Coast, Remington Red, Atomic Orange, Phantom Black dan Sleek Silver. Pembelian Tucson didatangkan dengan jaminan standard Hyundai iaitu lima tahun atau 300,000km (yang mana datang terlebih dahulu).
Spesifikasi :
Enjin : NU 2.0 MPI
Transmisi : Automatik 6-kelajuan
Kuasa maksimum : 158 PS @ 6,200rpm
Tork maksimum : 192 Nm @ 4,000rpm
Kapasiti bahan api : 55 liter
1 Comment