Mazda SKYACTIV Challenge 2015 cabar media permotoran tempatan – Bukti enjin SKYACTIV cemerlang
9 Jun lalu, Bermaz Motor Sdn Bhd telah mencabar sebahagian daripada media permotoran tempatan menyertai Mazda SKYACTIV Challenge 2015. Ia merupakan cabaran pemanduan ekonomi dengan memandu jentera Mazda yang paling tertinggi jualannya iaitu Mazda2, Mazda3 dan Mazda CX-5. Secara tidak langsung mahu membuktikan bahawa kenderaan keluaran Mazda yang menggunakan enjin SKYACTIV mampu memberikan penjimatan bahan api yang sungguh efisien.
Sebanyak 15 kumpulan menyertai tiga kategori berbeza dan memandu dari ibu pejabat Bermaz yang terletak di Glenmarie, Shah Alam menuju ke Permas Jaya, Johor Bahru dengan jarak keseluruhan 348.3 km.
Butang kawalan penghawa dingin, penutup tangki bahan api dan hud enjin telah ditutup bagi mengelakkan ada yang mengubah/menutup penghawa dingin atau ‘melakukan apa-apa aktiviti yang menyalahi peraturan pertandingan’. Malah penghawa dingin telah diselaraskan pada suhu 22 darjah Celsius oleh pihak penganjur. Bahkan, peserta juga tidak dibenarkan untuk menutup cermin sisi atas faktor keselamatan dalam pemanduan.
Hanya lapan peratus sahaja melibatkan pemanduan di kawasan bandar, selebihnya lebuh raya, jentera dipandu dalam kelajuan sekitar 61, 64, 69 dan 74km/j. Walau pun ada ketikanya, pemanduan sedikit terganggu kerana ada beberapa laluan di Lebuh Raya Utara-Selatan menuju ke JB ini sedang diselenggara yang menyebabkan berlakunya kesesakan. Mujur juga ada sistem i-Stop iaitu enjin akan berhenti secara automatik apabila kenderaan tidak bergerak tanpa mematikan penghawa dingin dan sistem audio. Secara tidak langsung, membantu dalam penjimatan bahan api.
Malah pemanduan juga harus dilengkapi dengan momentum tekanan pedal pendikit yang konsisten, mengurangkan penggunaan brek, serta kena mengelakkan seretan angin yang berlebihan. Mujur juga sepanjang perjalanan tidak melibatkan laluan berbukit.
Ketika perjalanan berbaki 112 km iaitu antara Yong Peng dan JB, ada sesetengah peserta yang terpaksa menekan lebih pedal minyak sehingga 110 km/j kerana mahu mengejar masa kerana sudah terlewat sedikit dari jadual yang telah ditetapkan. Memandu dari jam 9.40 pagi dan berhenti rehat selama 45 minit di Philea Resort, Melaka dan kemudian ada berhenti seketika dalam 5 minit di dua check-point, akhirnya tiba juga di destinasi yang ditetapkan iaitu di Shell Permas Jaya pada sekitar jam 5.30 petang.
Di Shell tersebut, urusetia bersama dua juri yang diundang khas untuk mengadili pertandingan ini telah mengisi semula bahan api bagi setiap jentera dan membuat pengiraan penggunaan petrol bagi menentukan pemenang. Wakil Infokereta.com yang bergandingan dengan Editor Pengurusan majalah 8Cars antara yang diumumkan sebagai juara dan memenangi kategori Mazda2. Hanya menggunakan bahan api sebanyak 9.68 liter bagi jumlah perjalanan sejauh itu atau 2.78 liter bagi setiap 100km, secara tidak langsung memberikan persaingan yang sengit bagi kategori yang sama.
Berikut merupakan keputusan penuh bagi Mazda SKYACTIV Challenge 2015 :
Dilihat dari keputusan tersebut, ternyata enjin SKYACTIV ini memang cukup cemerlang dan membuktikan penjimatan bahan api yag efisien ini sebagai suatu perkara yang realiti.
Ketiga-tiga kategori jentera yang digunakan iaitu Mazda2, Mazda3 dan CX-5 dipadankan dengan teknologi yang penuh inovatif iaitu SKYACTIV, yang bukan sahaja mampu menyalurkan kuasa dan tork yang sungguh cemerlang, malahan diyakini mampu memberikan penjimatan bahan api yang efisien. Dibangunkan oleh Mazda Corporation Japan, teknologi SKYACTIV ini berpotensi sebagai Enjin Pembakaran Dalaman (Internal Combustion Engine-ICE) yang dibangunkan bagi menyalurkan lebih banyak kuasa dan kecekapan bahan api yang lebih baik untuk mencabar pembangunan teknologi.
Di mana, pada awalnya, jurutera Mazda telah membangunkan enjin petrol SKYACTIV-G dan enjin diesel SKYACTIV-D.Enjin Mazda SKYACTIV-G beroperasi pada nisbah mampatan 14:1, dengan menyediakan lebih banyak kuasa, namun dalam masa yang sama menjimatkan bahan api. Manakala SKYACTIV-G meningkatkan kecekapan bahan api dan tork sebanyak kira-kira 15 peratus berbanding enjin sama yang sedia ada.
Sebaliknya, enjin diesel memerlukan nisbah mampatan yang tinggi antara 16:1 dan 18:1, mampatan yang tinggi yang diperlukan untuk membolehkan diesel untuk menyalakan. Teori jurutera Mazda mengatakan bahawa enjin diesel yang boleh bekerja pada nisbah mampatan yang lebih rendah bukan sahaja akan menjadi lebih ekonomi untuk menghasilkan, tetapi akan menjadi lebih ringan serta lebih cekap bahan api.
Oleh itu, mereka menghasilkan enjin diesel SKYACTIV-D yang juga sangat unik juga dengan 14:1 nisbah mampatan. Enjin SKYACTIV-D menyediakan peningkatan ekonomi bahan api sebanyak 20 peratus berbanding enjin diesel konvensional. Dipasang dengan pengecas turbo kecekapan tinggi, SKYACTIV-D juga menyediakan pergerakan yang lebih licin, tindak balas langsung kepada pendikit serta pecutan yang luar biasa.
Inilah jawapannya kenapa enjin SKYACTIV sungguh cemerlang, bukan setakat mampu menghasilkan prestasi yang sungguh memberangsangkan, bahkan dalam masa yang sama memberikan lebih ekonomi pada penggunaan bahan api.
Di samping itu, teknologi SKYACTIV ini turut digandingkan dengan sistem yang lebih inovatif termasuklah ‘i-stop’ dan i-ELOOP. Selain dipadankan dengan transmisi automatik enam-kelajuan yang juga bertindak secara cukup responsif.