Sistem Pengimbas Nombor Plat Automatik (ANPR) akan mula dipasang di sempadan negara Ogos ini
Pada November 2014, media tempatan melaporkan polis akan menggunakan alat pengimbas nombor plat kenderaan atau ‘Automated Numbers Plate Recognition’ (ANPR) di pintu masuk negara bagi mengenal pasti kenderaan asing yang mempunyai saman tertunggak.
Terkini, sistem tersebut akan dipasang di sembilan lokasi di sempadan Malaysia dan ia dijangka beroperasi mulai Ogos ini, laporan Bernama.
“Sekurang-kurangnya, 20 unit ANPR yang bernilai RM30 juta akan digunakan untuk mengesan pesalah trafik pada fasa pertama ini. Kami sedang dalam proses untuk membeli alat pengimbas ini,” ujar Supt. Zulkifli Yahya, Pegawai Turus Trafik Polis Bukit Aman.
Tambahnya lagi, ANPR menggunakan teknologi dari USA, dan ia akan digunakan secara meluas di pintu masuk sempadan, termasuk bagi mengesan pesalah trafik warga asing yang memiliki saman tertunggak.
Alat pengimbas tersebut yang dipasang di kereta peronda, di mana pegawai polis boleh mengambil tindakan segera ke atas pesalah trafik. Malah sistem ini juga akan membantu pegawai polis untuk mengesan kenderaan yang terlibat dengan kes jenayah termasuk penggunaan kereta curi.
Operasi ANPR pada Jumaat di Johor Bahru telah berjaya mengesan 4,200 saman tertunggak dari pengguna kenderaan warga Singapura, sebahagiannya adalah atas kesalahan memandu melebihi had laju. Sejak tahun 2010, lebih 700,000 pesalah trafik warga asing telah dicatatkan, dengan 500,000 daripada jumlah tersebut adalah warga Singapura.
Foto : Facebook PDRM