JPJ arah 1,800 anggota pantau laluan berisiko mulai awal Ramadan sehingga Aidilfitri
Bermula awal Ramadan sehingga musim perayaan Aidilfitri ini, seramai 1,800 anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah ditugaskan mengawasi laluai berisiko tinggi berlaku kemalangan di seluruh negara, memetik laporan Bernama.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Ismail Ahmad, rondaan dan pemantauan itu meliputi jalan utama, jalan persekutuan, jalan negeri serta lebuh raya.
“Jika sebelum ini, kita melakukan operasi seminggu sebelum dan selepas raya, namun tahun ini, kita akan memulakan rondaan dan pemantauan mulai awal Ramadan. Kita akan memfokuskan kawasan yang kerap berlaku kemalangan seperti lebuh raya kerana aliran trafik dijangka meningkat bermula Ramadan sehingga hari raya,” ujarnya.
Tambahnya lagi, rondaan dan pemantauan akan dijalankan 24 jam bagi memastikan aliran trafik berjalan lancar serta dapat mengurangkan kes kemalangan jalan raya pada musim perayaan.
Selain itu, seramai 1,000 anggota sukarelawan Skuad Muda 1JPJ akan digerakkan membantu pegawai penguat kuasa agensi itu dalam operasi sepanjang musim perayaan.
Di mana, skuad muda ini juga akan membantu memberi kesedaran tentang kesalahan lalu-lintas dan kempen keselamatan jalan raya kepada pengguna jalan raya.
Sumber foto : Facebook JPJ