Hyundai Grand i10 sedan bakal membuat penampilan pertama minggu hadapan
Delhi Auto Expo 2014 yang mula berlangsung pada minggu hadapan di New Delhi, India, bakal menyaksikan penampilan pertama modal sedan Hyundai Grand i10 yang menyertai varian hatchback Grand i10 (seperti di dalam gambar di atas) yang telah pun dilancarkan pada Ogos tahun lalu.
Kemungkinan besar, ia bakal menawarkan dua varian enjin iaitu diesel 1.1 liter U2 tiga silinder dan petrol 1.2 liter Kappa empat silinder yang digandingkan dengan kotak gear manual atau automatik lima kelajuan.
Lain-lain spesifikasi masih belum didedahkan, tetapi bagi model hatchback Grand i10, ia didatangkan dengan beg udara berkembar, kawalan penghawa dingin pada bahagian tempat duduk belakang, pengesan parkir dan two-DIN audio head unit dengan memori terbina di dalam 1GB.
Jadi apakah keistimewaan yang bakal ditampilkan oleh model sedan Grand i10 ini? Nantikan perkembangan selanjutnya di dalam Infokereta sebaik sahaja ia diperkenalkan di Delhi Auto Expo 2014 minggu hadapan.