PLUS tawar rebat tol sehingga 50% sempena Aidilfitri ini
PLUS Malaysia Berhad telah mengumumkan rebat tol sehingga 50% kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik di lebuh raya PLUS pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Dato’ Noorizah Hj Abd Hamid berkata, “Rebat tol tersebut ditawarkan kepada pengguna kenderaan Kelas 1 yang membayar tol secara elektronik pada Hari-Hari Bukan Puncak iaitu 13, 14, 15, 21, 22 dan 23 Julai bersempena dengan perayaan Hari Raya Aidilfitri. Ia boleh dinikmati oleh pengguna yang menggunakan lebuh raya untuk perjalanan jarak jauh iaitu melebihi 100 kilometer pada hari-hari tersebut.”
Menurut Noorizah, rebat tol sebanyak 50% diberikan kepada orang ramai yang membayar tol secara elektronik menggunakan kad PLUSMiles, kad Touch ‘n Go atau SmartTAG pada 13 dan 23 Julai. Manakala rebat tol sebanyak 40% pula diberikan untuk pembayaran tol secara elektronik pada 14 dan 22 Julai.
Sementara itu, rebat tol 30% pula diberikan kepada orang ramai membayar tol secara elektronik pada 15 dan 21 Julai akan datang.
Pemberian rebat tol ini adalah salah satu daripada strategi PLUS untuk mengagihkan trafik serta menggalakkan orang ramai bergerak pulang ke kampung sebelum Hari Raya Aidilfitri dan kembali ke bandar selepas berhari raya pada Hari-hari Bukan Puncak. Ia juga merupakan penghargaan PLUS kepada orang ramai yang terus menyokong perkhidmatan rangkaian lebuh raya tersebut.
PLUS akan turut mengambil pelbagai langkah lain untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang lebih selesa pada musim perayaan yang akan datang. Ia termasuklah mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) dan lain-lain lagi yang akan diumumkan kelak.