Peugeot 308 GTi 2016 menggetarkan jiwa
Seakan tidak sabar untuk menayangkannya secara rasmi di Goodwood Festival of Speed pada 25 Jun ini, Peugeot telah pun mula mendedahkan perincian dan foto model baharu 308 GTi.
Kelihatan lebih agresif berbanding model 308 GT, 308 GTi baharu ini divisualkan dengan peresap belakang berwarna hitam berkilat, ekzos berkembar, corong udara yang lebih besar, skirt sisi yang lebih menonjol, kaliper berwarna merah dan juga gril hadapan dengan imej cukup sporty.
Hadir dengan kuasa sehingga 250 PS dan 270 PS bagi kedua-dua versi yang dijanakan oleh enjin 1.6 liter, empat-silinder pengecas turbo bersama tork maksimum 330 Nm yang disalurkan menerusi gandar hadapan dengan dorongan kotak gear manual enam-kelajuan.
Dengan hanya seberat 1,205 kg, bagi varian 250, Peugeot 308 GTi baharu ini mampu meluncur dari 0-100km/j dalam hanya 6.2 saat. Model standard ini turut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 18-inci. Manakala bagi varian 270 pula, ia lebih pantas iaitu 6.0 saat (0-100km/j) dan dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19-inci bersama Torsen limited-slip differential.
Peugeot 308 GTi baharu ini juga telah menerima sistem stereng berkuasa dan casis yang dipertingkatkan, malah pemandu juga boleh mematikan sistem ESP jika tidak diperlukan.
Namun tidak banyak perubahan yang dilakukan pada bahagian kabin, melainkan menambah jahitan merah pada upholsteri, panel pintu, papan pemuka, karpet lantai dan tombol gear. Selain itu perkataan PEUGEOUT SPORT dan GTi turut terlakar pada door sills.
Menambahkan lagi imej sporty, material aluminium telah digunakan bagi tombol gear, perehat kaki dan tiga pedal. Manakala bagi 308 GTi 270, tempat duduk bucket dibaluti dengan material kulit dan Alcantara.
Peugeot 308 GTi ini bakal tiba di pasaran UK dengan harga £26,555 (RM111,802) bagi versi 250 PS dan £28,155 (RM118,538) jika memilih model 270 PS.