MyTeksi lancar dana RM4.5 juta untuk kebajikan pemandunya
Baru-baru ini MyTeksi telah melancarkan Program Pemandu Elit iaitu dana insiatif berjumlah RM4.5 juta untuk meningkatkan kebajikan para pemandunya.
Program yang sedang berjalan sehingga akhir Disember 2015 ini akan menghargai pemandu yang paling aktif dan mereka yang mampu mencapai standard yang tinggi, akan menerima faedah berjumlah RM10,000 setiap bulan yang merangkumi pelindungan insurans, insentif kewangan, cagaran MyTeksi dan banyak lagi.
“Kami sangat komited untuk meningkatkan kebajikan di kalangan pemandu teksi kami. Dalam masa yang sama, kami menggunakan pendekatan ini untuk mengenal pasti tahap prestasi mereka dan akan memberikan penghargaan bagi yang melakukan kerja dengan baik. Secara umumnya, kami lebih cenderung mendengar komplen mengenai kualiti pemandu teksi, berbanding pujian yang baik,” ujar Jaygan Fu, Pengurus Besar MyTeksi.
Buat setakat ini aplikasi MyTeksi boleh didapati di Google Play, App Store dan Blackberry World, yang telah dimuat turut oleh lebih 4.8 juta pengguna, dengan 10 tempahan setiap saat dan memiliki lebih 91,000 pemandu di enam buah negara iaitu Malaysia, Filipina, Thailand, Singapura, Vietnam dan Indonesia.