Mercedes-Benz G 500 4×4² bakal diproduksikan
Model konsep Mercedes-Benz G 500 4×4² telah disahkan bakal diproduksikan berdasarkan “respons yang luar biasa” yang diterima oleh pengeluar kenderaan terkemuka Jerman ini selepas menampilkannya secara eksklusif di Geneva International Motor Show 2015 lalu.
G 500 4×4² ini merupakan model terkini dalam barisan Mercedes-Benz’s G-Class. Digambarkan sebagai “model brother” bagi G 63 AMG 6×6, Mercedes-Benz berkata, G 500 4×4² ini merupakan SUV pacuan empat-roda yang memiliki bancuhan keistimewaan bagi G-Series.
Berdasarkan laporan sebelum ini, G 500 4×4² akan dilengkapi dengan bampar hadapan AMG, panel badan gentian karbon, paip berkembar dan rim aloi bersaiz 22-inci yang dibaluti tayar 325/55. Ia juga menampilkan pelindung bawah badan dengan keluli tahan karat dan juga gril serta bampar hadapan yang nampak garang.
Jentera ini akan dijanakan oleh enjin 4.0 liter pengecas turbo berkembar V8 yang mampu menghasilkan kuasa sehingga 428 PS dan tork setinggi 610 Nm.
Ia bakal dipasarkan di Jerman pada September ini pada harga bermula €226,100 (RM956,950).