Faktor manusia penyumbang utama kemalangan di LPT2 -LLM
Beberapa kemalangan maut yang berlaku di jajaran Lebuhraya Pantai Timur Fasa II (LPT2) mendorong Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), syarikat konsesi yang bertanggungjawab dan beberapa pihak lain melakukan siasatan sewajarnya bagi mengenal pasti punca insiden ini.
Semalam, LLM dalam kenyataannya menyebut faktor manusia sebagai punca utama penyumbang kemalangan yang berlaku di lebuhraya berkenaan.
Menurut Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Ismail Md Salleh, faktor manusia seperti memandu dalam keadaan mengantuk, memandu melebihi had laju terutama pada waktu hujan, cuai serta gagal mematuhi arahan keselamatan adalah punca utama kemalangan di LPT2, memetik laporan Bernama.
Di mana daripada 339 kes kemalangan di LPT2 antara 1 Feb hingga 2 Jun lepas, sebanyak 70 peratus atau 238 kemalangan berpunca daripada faktor manusia.
Manakala selebihnya pula merupakan faktor persekitaran iaitu 19 peratus atau 65 kemalangan termasuk pencerobohan haiwan ternakan seperti lembu dan kerbau serta haiwan liar, juga terdapat lokasi air melintas dan faktor kenderaan sebanyak 11 peratus atau melibatkan 36 kemalangan.
Ismail berkata daripada jumlah kemalangan tersebut 10 kes adalah kemalangan maut, 25 kes melibatkan cedera parah, 58 kes cedera ringan dan selebihnya tiada sebarang kecederaan dilaporkan.
Secara amnya, permukaan LPT2 berada dalam keadaan yang baik, namun terdapat beberapa kawasan berlaku pemendapan terutama berdekatan struktur jambatan dan permukaan lebuh raya yang beralun di beberapa lokasi.
“Sebahagian lokasi berlaku mendapan dan beralun telah diperbaiki dan proses pembaikan secara keseluruhan akan dilakukan dalam masa yang terdekat. kerja-kerja penambahbaikan adalah di bawah tanggungan pihak kontraktor asal kerana ia masih dalam Tempoh Tanggungan Kecacatan,” katanya.
Dalam masa yang sama, LLM dan Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil beberapa tindakan termasuk meningkatkan kekerapan rondaan, membaik pulih pagar rezab yang rosak, mengedarkan risalah kesedaran dan pemasangan papan tanda amaran di lokasi berlakunya pencerobohan haiwan.
Sambungnya lagi, “Ini termasuklah mengenal pasti lokasi air melintas dan selekoh berbahaya dan akan menambah baik permukaan berturap, permukaan lebuh raya serta mengadakan langkah intervensi yang bersesuaian dengan kerjasama pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat”.